Saksikan gerhana penuh kali kedua 28 Julai ini
Nursyazwani Saiful Sham
Julai 16, 2018 06:09 MYT
Julai 16, 2018 06:09 MYT
Penduduk di Australia, Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bakal menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh buat kali kedua untuk tahun ini.
Fenomena gerhana bulan penuh ini yang juga akan kelihatan di Malaysia akan bermula pada 1.14 pagi hingga 7.28 pagi pada 28 Julai ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Angkasa Negera (ANGKASA) dalam satu kenyataan, fasa gerhana penuh ini akan berlangsung selama 1 jam 42 minit 57 saat.
“Ia sekali gus menjadikan tempoh paling lama bagi abad ke-21 (2001 - 2100). Tempoh paling lama bagi gerhana bulan penuh boleh berlaku adalah selama 1 jam 47 minit.
“Gerhana bulan penuh yang berlaku pada 28 Julai ini boleh dilihat dari mana-mana kawasan di Malaysia bergantung kepada cuaca setempat.
“Bagaimanapun, tidak semua tempat di negara ini dapat melihat keseluruhan fasa-fasa gerhana yang berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa-fasa tertentu berakhir,” katanya.
Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi, dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra Bumi.
Berikut adalah jadual waktu berlakunya fasa-fasa gerhana bulan penuh pada 28 Julai ini;
Berikut adalah jadual bulan terbenam dan kenampakan gerhana bagi beberapa bandar terpilih di negara ini pada 28 Julai ini;
Dalam pada itu, Observatori Negara Langkawi, akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh ini secara lebih dekat.
Kali terakhir fenomena gerhana penuh berlaku pada 31 Januari lepas dan keseluruhan fenomena itu berakhir pada jam 12.08 pagi 1 Februari.