Saksi tidak serah telefon bimbit rakam panggilan video Ebit Lew kepada polis

Bernama
Ogos 29, 2024 22:40 MYT
Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret bahawa beliau tidak menyerahkan sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam panggilan video dengan Ebit Lew, kepada polis. - Gambar fail/Sinar Harian
TENOM: Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau tidak menyerahkan sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakam panggilan video dengan Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, kepada polis.
Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes berhubung gangguan seksual pendakwah tersebut, berkata telefon berkenaan adalah untuk kegunaan di rumah bersama suaminya dan beliau tidak ingat nombornya kerana sudah tidak aktif.
Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Ram Singh di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, saksi berkata beliau menerima panggilan video daripada Lew pada petang 10 Julai 2021 melalui telefon bimbit lain miliknya sebelum bertindak merakam panggilan itu menggunakan telefon rumah.
Wanita itu berkata panggilan video tersebut adalah yang pertama dirakamnya dan ia dilakukan tanpa pengetahuan tertuduh sebelum beliau bertindak menyekat nombor telefon Lew pada 11 Julai 2021.
Beliau berkata telefon yang digunakan untuk panggilan video itu telah diserah kepada polis pada 7 Ogos 2021.
Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan disambung esok.
-- BERNAMA
#gangguan seksual #Mahkamah Majistret #WhatsApp #Ebit Lew