Saksi pembelaan Latheefa dan Shafee 'bengang' antara satu sama lain

Bernama
Mac 9, 2020 07:25 MYT
Latheefa berkata beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu bukan untuk menjawab soalan sebegitu. - Gambar fail
Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menjadi tegang seketika apabila saksi ke-13 pihak pembelaan, Latheefa Koya, jelas bengang dengan soalan diajukan peguam bela.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berasa kurang senang apabila peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya tentang siasatan yang dilakukan SPRM terhadap RM4 bilion yang didakwa dihantar ke bank BSI di Switzerland, dengan saksi itu berkata beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu bukan untuk menjawab soalan sebegitu.
"Adakah saya sedang diperiksa balas di sini? Saya telah diberitahu bahawa saya dipanggil ke sini untuk membantu mengenai rakaman audio. Jika anda tanya saya mengenai pertuduhan tertentu, saya mungkin tidak dapat membantu," tegasnya.
Muhammad Shafee: Adakah anda mengikuti perbicaraan ini?
Latheefa: Tidak secara terperinci, secara umum sahaja.
Muhammad Shafee: Adakah anda sedar bahawa satu daripada tuduhan yang dibuat adalah RM4 bilion telah dipindahkan ke sebuah bank di Switzerland. Anda pasti ingin tahu di mana RM4 bilion itu pergi?
Latheefa: Terdapat maklumat umum yang saya tahu. Tetapi pertuduhan itu dibuat sebelum saya menjadi ketua pesuruhjaya.
Muhammad Shafee: Tetapi sebagai ketua pesuruhjaya pada masa itu, pasti anda mahu tahu?
"Ia bukan hanya RM4 bilion, kami berminat untuk tahu tentang semua wang yang berkaitan dengan SRC, 1MDB (1Malaysia Development Berhad), kaitan dengan semua itu dan di mana aset-aset itu. Kami berminat untuk mendapatkan semula aset, sama ada di Switzerland, Amerika Syarikat, atau London, dan kami sedang dalam proses untuk mendapatkan semula wang itu," katanya.
Kepada soalan mengenai penyiasatan agensi pencegahan rasuah itu terhadap RM4 bilion berkenaan, Latheefa berkata beliau tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai siasatan yang sedang berjalan kerana ia akan menjejaskan siasatan SPRM.
Pada ketika itu, Muhammad Shafee, yang kelihatan marah dengan cara Latheefa menjawab, berkata: "Yang Arif, saya sudah selesai dengan saksi ini. Beliau tidak menjawab soalan saya. Walaupun beliau saksi saya, saya sudah tahu akan sikapnya.
"Kita ada Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas, yang meletak jawatan pada akhir Februari) yang berani membuat kenyataan pada awal perbicaraan tentang wang di Switzerland, tetapi sebagai ketua pesuruhjaya, saksi tidak menjawabnya. Saya tiada soalan lain," katanya, sebelum Latheefa dilepaskan sebagai saksi oleh mahkamah.
Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Amanah #bank BSI #Latheefa Koya #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #Peguam Negara #rakaman audio #Rasuah #RM4 bilion #siasatan #SPRM #SRC International #Switzerland
;