Saksi lihat bunga api meletup dan menuju ke arah penonton

Bernama
Januari 1, 2017 13:54 MYT
Imej pegun daripada salah satu rakaman video amatur saksi kejadian di Kompleks Sukan pandamaran malam tadi. - Foto: Sumber Facebook
Pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2017 di tapak Fiesta Gegar Klang di padang Kompleks Sukan Pandamaran di sini, malam tadi, terhenti seketika sebelum bunga api dilihat meletup dan mencederakan beberapa penonton yang berkumpul menyaksikan pertunjukan itu.
Perkara ini diceritakan seorang saksi kejadian, Nadia Hassan, 38, yang membuka gerai haiwan di fiesta berkenaan.
Lokasi gerai Nadia terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, letupan bunga api pertama berjalan lancar tanpa sebarang masalah, namun letupan kedua dan ketiga dilihat menuju ke arah penonton.
"Ketika itu, semua penonton berlari ke belakang untuk berlindung, banyak juga barang di gerai saya jatuh dilanggar penonton," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pertunjukkan bunga api itu merupakan sebahagian daripada program fiesta anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berlangsung dari 30 Dis hingga hari ini.
Selain pertunjukan bunga api, program-program lain yang dijadualkan sepanjang fiesta itu antaranya, jualan gerai; food truck; persembahan badut; persembahan motosikal; senamrobik perdana dan kayuhan santai basikal.
Dalam kejadian itu, seramai 14 pengunjung cedera iaitu 10 dewasa dan empat kanak-kanak akibat terkena serpihan letupan bunga api.
Difahamkan bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara.
BACA: 10 orang melecur terkena letupan bunga api sambutan tahun baharu di Klang
Seorang lagi saksi, Radin Mohd Fasbillah, 18, yang bekerja di gerai sama pula berkata ketika kejadian, penonton pertunjukan bunga api dilihat dalam keadaan bersesak-sesak dan kedudukan mereka agak hampir dengan lokasi pertunjukan itu.
"Di hadapan gerai saya bekerja ini penuh dengan pengunjung, kedudukan gerai dengan lokasi pertunjukan bunga api dalam 20 meter.
"Bila bunga api itu mula tumbang semua orang lari bertempiaran, ada yang terjatuh," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati fiesta berkenaan diteruskan seperti yang dijadualkan dan para peniaga dilihat membuka gerai mereka seperti biasa.
Turut kelihatan para peserta program kayuhan santai basikal dan beberapa program lain yang disusun, berjalan seperti biasa.
Terdahulu, usaha Bernama untuk menemu bual mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, gagal apabila dimaklumkan petugas hospital bahawa kesemua mangsa telah dibenarkan pulang sejurus menerima rawatan sebagai pesakit luar.
-- BERNAMA
#bunga api #Klang #letupan #mangsa melecur #mercun #saksi kejadian #sambutan tahun baru
;