Saksi kes langgar lari di Jalan Banting-Dengkil diminta tampil bantu siasatan
Sinar Harian
Februari 4, 2022 12:20 MYT
Februari 4, 2022 12:20 MYT
KUALA LANGAT: Polis sedang mengesan saksi kejadian langgar lari melibatkan sebuah Perodua Axia dan sebuah motosikal di Jalan Banting-Dengkil di sini pada Selasa.
Kejadian tersebut tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 25 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook, Muhd Azzanur yang mendakwa mangsa terlibat merupakan ibunya sendiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran sebuah pusat sembelihan di sini sekitar jam 8.30 malam.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Banting menghala ke Olak Lempit di lorong kiri telah bergesel dengan Perodua Axia sehingga terjatuh.
"Nombor pendaftaran Perodua Axia berwarna perak tidak dapat dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 dan 03-3187222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran.
*Berita asal di Sinar Harian