Saksi kemalangan maut diminta tampil bantu siasatan
Sinar Harian
September 16, 2021 05:15 MYT
September 16, 2021 05:15 MYT
PETALING JAYA: Polis meminta saksi kemalangan maut yang berlaku di kilometer (KM) 1.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala Damansara di sini pada Ahad tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kemalangan tersebut pada jam 9.40 malam.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai terbabas dan jatuh di atas jalan raya.
"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Fakhrudin, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
"Kepada mereka yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.