Saksi kemalangan maut babitkan bayi berusia tiga bulan Ahad lalu tampil bantu siasatan

Bernama
Mei 31, 2017 15:53 MYT
Supramaniam (gambar) berkata ketika kejadian, saksi juga turut membantu mangsa kemalangan Perodua Axia yang telah terbabas. - Gambar fail
Seorang saksi kemalangan yang menyebabkan kematian seorang bayi berusia tiga bulan di Kilometer 433.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kuala Kubu Bharu Ahad lalu tampil memberi keterangan di Balai Polis Setapak, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R.Supramaniam berkata lelaki berkenaan hadir di balai polis pada 9 malam dan telah memberi maklumat berhubung kejadian itu.
"Dia juga telah menyerahkan rakaman video serta alat perakam video kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Supramaniam berkata ketika kejadian, saksi juga turut membantu mangsa kemalangan Perodua Axia yang telah terbabas.
Beliau berkata berikutan kejadian itu, seorang wanita, 27 tahun pemandu kereta Proton Persona ditahan sehari selepas kejadian namun, dibebaskan dengan jaminan polis sejurus selesai ujian air kencing dan spesimen darah diambil untuk dianalisis.
"Kes ini akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas mendapat laporan daripada agensi-agensi berkaitan serta di rujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, kereta Proton Persona yang dipandu wanita terbabit dan kereta Perodua Axia yang dipandu Shahril Salleh, 32, terlibat dalam kemalangan yang mana Perodua Axia itu terbabas dan termasuk ke dalam longkang manakala Proton Persona itu berpusing ke arah bertentangan dan menghentam pembahagi jalan.
Kemalangan itu menyebabkan isteri Shahril, Rafnah Mongudancgal, 35, dan bayinya Aril Rizqin Redza tercampak keluar dari kereta. Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
Rafnah, Shahril dan dua lagi anak lelaki mereka, Aril Hakimi Ashraf, 11, dan Aril Zakuan Haris, 4, serta pemandu kereta Proton Persona itu hanya mengalami cedera ringan.
-- BERNAMA
#Balai Polis Setapak #bayi #kemalangan #Lebuhraya Utara-Selatan #memberi keterangan #PLUS
;