Saksi dakwa Lim akan beri projek terowong jika atur MoU dengan syarikat China

Bernama
Oktober 2, 2024 17:56 MYT
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dihadapi beliau. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) mendakwa Lim Guan Eng akan memberinya Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang secara rundingan terus, jika beliau dapat mengaturkan satu majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat dari China.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Lim menyatakan projek tersebut akan diberikan kepada beliau sekiranya majlis tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri China.
"Lim memaklumkan perkara itu di dalam kereta semasa saya menghantarnya pulang pada awal Mac 2011. Selain itu, dalam keterangan saya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes G.Gnanaraja, saya ada cerita pasal peranan YB Lim Guan Eng dan pegawai-pegawainya untuk membantu saya mendapatkan projek ini (projek terowong)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa prosiding bagi mencabar kredibilitinya yang didakwa telah memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah berhubung kes penipuan ahli perniagaan itu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes rasuah projek tersebut.
Pada 24 Mac 2022, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Lim berasa gembira apabila majlis MoU antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) berhubung projek mega berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu yang bernilai RM6.34 bilion, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan China.
Zarul Ahmad berkata beliau telah menerima panggilan telefon sekitar tahun 2011 daripada Lim memaklumkan bahawa Wen Jiabao, yang ketika itu Perdana Menteri China dan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu Perdana Menteri Malaysia akan menghadiri majlis menandatangani MoU yang diadakan di Putrajaya pada 28 April 2011, yang turut dihadiri Lim.
Ditanya Wan Shaharuddin, adakah Zarul Ahmad ada menyatakan mengenai isu 10 peratus semasa memberi keterangan kepada SPRM, Zarul Ahmad menjawab: "Tidak, saya diarahkan untuk asingkan (keterangan) mengenai pemberian wang bagi kes Gnanaraja dengan kes YB Lim Guan Eng".
Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Zarul Ahmad mengesahkan bahawa seorang pegawai penyiasat SPRM memberitahunya tentang siasatan khas yang dijalankan berhubung kes rasuah membabitkan Lim. Beliau juga menyatakan telah memberikan keterangan secara terperinci kepada SPRM mengenai kes tersebut.
Wan Shaharuddin: Dalam keterangan anda bagi siasatan kes Gnanaraja, pernah tak anda beritahu yang duit tidak pernah diberi langsung kepada Lim Guan Eng?, Zarul Ahmad menjawab "Tidak".
Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk memanggil pegawai penyiasat SPRM Ng Weng Jun, yang menjalankan siasatan berhubung kes Gnanaraja, bagi menyokong keterangan Zarul Ahmad dalam prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.
"Saksi ini relevan untuk dipanggil kerana Zarul Ahmad ada menyebut nama Ng dalam prosiding mencabar kredibilitinya. Sekiranya pegawai penyiasat itu dipanggil, beliau dapat memaklumkan kepada mahkamah sama ada betul atau tidak beliau meminta Zarul Ahmad untuk memisahkan keterangan mengenai Gnanaraja daripada keterangan mengenai Lim Guan Eng," katanya.
Sementara itu, peguam RSN Rayer yang mewakili Lim membantah permohonan tersebut dengan alasan bahawa Ng bukan pegawai penyiasat yang merakam percakapan Zarul Ahmad dalam siasatan kes Gnanaraja.
Hakim Azura Alwi telah menetapkan 9 Okt untuk membuat keputusan mengenai permohonan itu serta prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek yang sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
-- BERNAMA
#Lim Guan Eng #projek terrowong Pulau Pinang #Consortium Zenith Construction #kes rasuah
;