Sakit ulu hati disangka gastritis, rupanya petanda sakit jantung

Hafizi Rosli
Mac 13, 2020 13:04 MYT
Jangan ambil ringan, sakit ulu hati merupakan antara simptom sakit jantung. - Gambar hiasan
Sakit ulu hati sememangnya dikaitkan dengan penyakit gastritis, namun tahukah anda ia juga merupakan salah satu simptom sakit jantung.
Menurut Pakar Perubatan Kecemasan Institut Jantung Negara, Dr Ahmad Suhailan Mohamed, golongan wanita terutamanya terdedah dengan simptom berkenaan.
"Sakit ulu hati merupakan simptom tidak klasik, ditambah pula dengan kebas tangan.
"Apabila pesakit datang membuat pemeriksaan dan kajian, disangka hanya gastritis sahaja, namun rupa-rupanya ia adalah petanda sakit jantung," kata Dr Ahmad Suhailan ditemubual dalam program Awani Pagi pada Jumaat.
Kata Dr Ahmad Suhailan, simptom klasik yang biasa didengari adalah sakit di bahagian dada, sesak nafas, pening kepala.
Jika pada tahap lebih serius, seseorang itu boleh terkena sawan dan seterusnya pengsan.
Dalam keadaan sedemikian, prosedur CPR (prosedur untuk mengembalikan denyutan jantung dan pernafasan melalui pengepaman jantung secara luaran dengan menggunakan tangan) hendaklah dilakukan segera.
"Seminit kelewatan melakukan CPR, pesakit berdepan dengan 10 peratus risiko boleh menyebabkan kematian".
"Dengan melakukan prosedur CPR, ia bagi memastikan aliran oksiden berterusan ke dalam otak bagi mengurangkan kecederaan di bahagian otak,"katanya lagi.
Dr Ahmad Suhailan berharap, sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga mampu melakukan CPR dengan baik sekiranya berdepan dengan situasi berkenaan.
#cpr #gastrik #gastritis #IJN #Institut Jantung Negara #keluarga #perubatan #sakit jantung #serangan jantung #Simptom #ulu hati #wanita
;