Sakit Mental: Perintah Rawatan Dalam Komuniti mampu bendung kes agresif
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 12, 2016 17:43 MYT
Ogos 12, 2016 17:43 MYT
Satu rang undang-undang perlu dikaji dan dirangka bagi mengatasi isu-isu berkaitan pesakit mental untuk diletakkan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001.
Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Prof. Madya Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menekankan, undang-undang itu mungkin boleh mengawal kes-kes berkaitan mental daripada terus meningkat.
"Community Treatment Order (CTO) atau Perintah Rawatan Dalam Komuniti sudah dilaksanakan dalam banyak negara maju. Kalau kita dapati pesakit itu, ahli keluarganya tidak beri sokongan yang baik atau pesakit tidak mahu ambil ubat, kebanyakan pesakit tidak rasa dia sakit -- mereka tiada kefahaman bukti bertindak ganas.
"Dalam hal ini, mereka perlu dirujuk kepada pihak berkuasa, saya cadangkan majistret atau tribunal untuk mengesahkan bahawa orang ini (pesakit mental) perlu menerima rawatan kerana jika tidak, masyarakat secara amnya akan terdedah kepada bahaya," ujarnya kepada Astro AWANI ketika ditemubual di sini, hari ini.
Katanya, buat masa ini, pesakit mental tidak boleh dirawat secara paksaan.
Selain itu, keluarga perlu memainkan peranan dalam membantu pesakit mental untuk terus mendapat sokongan dan mengambil ubat berterusan.
Pesakit mental juga perlu mendapatkan rawatan daripada peringkat awal bagi mengelakkan tindakan agresif atau tidak sepatutnya berlaku.
"Kalau tidak dirawat di peringkat awal, gangguan itu menjadi amat serius, contohnya orang hendak bahayakan diri dia, ahli keluarga hendak bahayakan dia. Dia rasa tidak selamat.
"Semua berbalik kepada kepercayaannya (pesakit mental). Dia berpegang teguh kepada kepercayaannya," ujarnya lagi.
Lebih memudaratkan apabila pesakit itu mendengar suara yang menyakinkan mereka untuk bertindak di luar kewarasan seperti membunuh.
Kes-kes seperti itu semakin membimbangkan dan ia seiring dengan jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melihat penyakit mental akan menjadi bebanan nombor dua dunia menjelang 2020 dan bebanan pertama pada 2030.
"Saya merayu, saya pun Melayu yang memahami masyrakat kita yang faham mengenai saka, gangguan makhluk halus tapi jangan abaikan rawatan konvensional yang terbukti dan daripada pemerhatian kami.
"Mereka tidak merbahaya, dan penyelidikan membuktikan kalau mereka dapat rawatan mereka tidak bahaya daripada orang lain sama seperti orang lain, tapi kalau rawatan satu bulan pertama lepas tu tidak datang dah, kita tidak tahu bila dia akan bertindak luar batasan," tambahnya.
Dr. Muhammad Muhsin mengulas mengenai kes pembunuhan ngeri di Kota Tinggi, Johor yang menyaksikan seorang nenek dipercayai dipenggal cucu yang menghidap penyakit mental.