Sakit hilang anak belum sembuh, warga emas diduga rumah musnah terbakar
Salim Aziz
Oktober 21, 2020 13:49 MYT
Oktober 21, 2020 13:49 MYT
KANGAR: Diuji dengan pemergian anak sulung yang meninggal dunia sebelum ini benar-benar mematahkan semangat sepasang suami isteri warga emas dari Bukit Keteri, di sini.
Namun, ketika kesedihan masih belum berakhir, kehidupan pasangan berkenaan diduga pula dengan musibah kediaman yang menjadi tempat berteduh musah dalam kebakaran pada hujung minggu lalu.
Apa yang ada pada suami isteri itu hilang dalam sekelip mata, yang tinggal hanyalah sepasang baju lusuh yang membaluti tubuh mereka pada hari kejadian.
Kini Rosna Ismail, 60, dan suaminya, Hassan Ali, 70, tumpang berlindung di surau berhampiran rumah mereka di Kampung Perawah, Jalan Tok Kayaman, di sini sementara menanti tempat berteduh baru siap dibina.
Suami isteri malang itu dijanjikan sebuah rumah oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dijangka siap 16 hari lagi.
Buat masa ini pula, segala keperluan buat mereka termasuk pakaian, makanan serta tilam dan bantal semuanya pemberian jiran.
Ketika meninjau tapak rumah lamanya, Rosna yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Santan, sebak mengenangkan segala hasil sepencarian dia dan suami yang turut musnah dalam kejadian itu.
“Sekarang tiada apa, cuma tinggal sehelai sepinggang sahaja,” kata Rosna dalam nada hiba bercerita mengenai dugaan yang harus diharunginya.
Satu demi satu ujian yang dilalui menyebabkan tidur Rosna setiap malam tidak lena memikirkan bagaimana mahu melalui kehidupan.
Mengimbas kejadian pada sekitar pukul 5.30 petang Ahad lalu, Rosna berkata, ketika itu dia sedang menyiapkan 300 tempahan kuih-muih di bahagian bawah rumah.
Ketika leka menyiapkan tempahan, dia dikejutkan dengan jeritan jiran yang memaklumkan api telah marak di bahagian atas rumah kayu yang dihuni mereka Sembilan beranak sejak 49 tahun lalu.
Dalam keadaan panik, Rosna menjerit meminta anak dan dua cucu yang berusia lima dan dua tahun segera keluar menyelamatkan diri.
Ketika itu juga, suami Rosna bergegas naik ke atas rumah kerana menyangka dua anak yang tinggal bersama mereka, sedang tidur.
Sebaik menyedari anak-anaknya tiada di atas, Hassan lantas terjun melalui tingkap rumah bagi menyelamatkan diri kerana api terlalu marak.
Sekalipun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku dalam kebakaran itu, namun, Rosna sekeluarga masih trauma dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, dalam meringankan beban pasangan warga ema situ, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Santan, Musra Mat Saman menyantuni keluarga berkenaan dan menyerahkan sumbangan.
Menurut Musra, prihatin dengan penderitaan Rosna dan Hassan, beliau bersama seluruh guru dan kakitangan sekolah berkenaan mengadakan kutipan kilat.
“Sumbangan (kutipan) daripada warga sekolah… murid-murid guru dan pekerja semua warga Sekolah Kebangsaan Santan juga daripada ibu bapa apa (pelajar) untuk kami sampaikan pada Kak Rosna,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, sebuah rumah kayu dua tingkat musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai akibat litar pintas namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
#warga emas
#kebakaran
#rumah musnah
#Kangar
#Perlis
#Kampung Perawah
#Jalan Tok Kayaman
#Bukit Keteri
#Rosna Ismail
#Hassan Ali