"Sakit dan deritanya masih terasa" - Syed Othman imbas tragedi terkena jerangkap samar komunis

Ridauddin Daud
Oktober 27, 2022 14:01 MYT
Tahun demi tahun berlalu, berpandukan kajian dan usaha bertahun-tahun, akhirnya Syed Othman Syed Omar berjaya menulis sembilan buah buku di sebalik cabaran-cabaran dilalui.
SUNGAI SIPUT: Tarikh 4 Ogos 1979 akan terus tersemat di ingatan pesara tentera ini, Leftenan Kolonel (Bersara) Dr Syed Othman Syed Omar kerana tarikh itu mengubah hidupnya buat selama-lamanya.
Selepas 23 hari bergelar suami kepada Habibah Nordin, dia diarahkan untuk menyertai operasi di kawasan hutan Sadao, selatan Thailand.
Genap 27 hari usia perkahwinannya, malang menimpa apabila dia terkena jerangkap samar dipasang pengganas komunis, membuatkan dia hilang deria penglihatan selama-lamanya.
Orangnya murah dengan senyuman, tutur katanya juga tersusun, penuh bersemangat dan apabila berborak dengannya, tidak langsung menyangka bahawa dia menyimpan kisah yang begitu meruntun hati.
Menceritakan semula detik mengerikan di selatan Thailand itu, air mata Syed Othman tidak tertahan, dengan laju gugur membasahi pipi.
Air mata itu bukan kerana sedih mengenangkan nasibnya tapi kerana masih terbayang Prebet Tahir yang putus kaki dan Prebet Mansor yang cedera parah di badan akibat insiden itu.
"Allahuakbar, satu pengalaman yang sangat mengerikan, menakutkan dan sedih pun ada bila tengok anggota kita meratap kehilangan anggota badan.
"Allah, tak boleh nak bayang, satu-satu pengalaman yang sukar nak bayangkan. Saya kadang-kadang menangis sendiri bila ingatkan perkara itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Makmor, Sungai Siput.
Letupan yang menggegarkan pagi itu pada awalnya tidak meragut sepenuhnya penglihatannya namun pada waktu itu, sudah ada tanda-tanda matanya mengalami masalah.
Tiba di hospital tidak lama kemudian, keadaan semakin memburuk dan dalam keadaan kelam-kabut itu, dia sempat melihat, buat kali terakhir, kelibat isterinya datang kepadanya.
Selepas detik itu, matanya dibalut penuh dan itulah kali terakhir Syed Othman melihat keindahan alam kerana selepas itu, semuanya gelap-gelita.
Namun, kehadiran isteri dan ibu yang menemaninya setiap masa di hospital menguatkan semangatnya.
"Dah tiga bulan, masih bengkak ni. Alis mata tu kan bengkak, orang tengok pun takut. Nak buang air, bisanya itu, saya menggelupur hari-hari (tahan sakit).
"Mereka cucuk, tarik air keluar, pasal bisa bom tu, memang lama nak hilang, memang berbulan-bulan pun. Lepas keluar hospital pun masih bengkak.
"(Bila doktor beritahu buta) saya rasa sedih, kalau mak saya tiada, saya rasa saya menangis dah kot," ujarnya.
Keluar dari hospital, dia tidak membiarkan kesedihan mencengkam hatinya terlalu lama.
Perlahan-lahan dia atur langkah, mendaki satu-persatu anak tangga universiti malah pernah juga kakinya dijejakkan ke University of Florida pada 1982 dan selesai pengajiann pada 1986.
Semuanya demi ilmu dan kerana janjinya kepada ibu, mahu melanjutkan pengajian setinggi mungkin walaupun dia lahir dalam keluarga susah.
Akhirnya beliau berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Malaya pada 2003 sebelum bersara tiga tahun kemudian.
Tahun demi tahun berlalu, berpandukan kajian dan usaha bertahun-tahun, dia akhirnya berjaya menulis sembilan buah buku di sebalik cabaran-cabaran dilalui.
"Cabaran besar nak cari bahan, sebab saya tak nampak, saya nak rekod, kena minta orang baca, nak minta orang cari.
"Tapi saya bersyukur kerana semasa dalam perkhidmatan, saya dapat dua orang anggota yang sukarela nak jadi pembantu saya, memang mereka yang membantu saya banyak," katanya.
Hampir sejam ditemu bual, banyak yang Syed Othman luahkan dan baginya, kadangkala dia berasa apa yang dilakukan dirinya, anggotanya dan semua anggota tentera di seluruh negara seolah tidak begitu dihargai.
"Lepas kejadian itu, keadaan yang saya dah lalui, kadang-kadang saya rasa jauh hati…dengan apa yang telah saya lakukan dan apa yang saya terima dan anggota saya, saya rasa saya (dan semua) tidak diperlakukan dengan adil," ujarnya.
#penulis buta #ATM #tentera #operasi
;