Saki-baki kumpulan 'Wolf Pack' masih dalam negara - KPN Hamid Bador

Fareez Azman
Mei 15, 2019 13:00 MYT
Abdul Hamid (kiri) mengesahkan beberapa individu dari kumpulan 'Wolf Pack' yang sedang dijejaki masih berada di dalam negara. -Astro AWANI
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan beberapa individu dari kumpulan 'Wolf Pack' yang sedang dijejaki masih berada di dalam negara.
Jelasnya, saki-baki kumpulan tersebut dinasihatkan menyerah diri bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.
“Kita masih berusaha menjejak mereka. Kita akan mengambil tindakan sebelum berlaku sesuatu yang lebih dahsyat.
"Kalau mereka (ahli kumpulan) dapat menyerah diri, boleh mengelak daripada (dikenakan) hukuman lebih berat terhadap mereka. Kesemua mereka dipercayai masih (berada) dalam negara,” kata Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan tangkapan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan 'Wolf Pack' pada 5 hingga 7 Mei lalu.
Suspek warga asing termasuk seorang warga tempatan itu ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.
Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield tahun lalu.
Sementara itu, mengulas berkenaan gesaan Hindraf agar polis memberi perlindungan tambahan kepada Menteri Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, Abdul Hamid berkata polis sentiasa memantau aktiviti kumpulan tersebut serta keselamatan mana-mana pihak yang menjadi sasaran.
Bagaimanapun, beliau menasihati semua pihak termasuk pemimpin politik agar tidak mewujudkan suasana tidak harmoni serta provokasi terhadap individu yang bersikap radikal.
“Saya menyeru orang ramai mengambil sikap sederhana memperjuangkan hak masing-masing. Baik dari segi hak kaum dan agama.
"Kita ada NGO perjuangkan kepentingan masing-masing perlu sikap sederhana sensitif supaya dapat mengelakkan timbul situasi mencetus provokasi terhadap individu radikal.
“Kita tegas mengambil tindakan terhadap semua bentuk keganasan tanpa mengira latar belakang agama, kaum, politik,” tambah Abdul Hamid.
#Abdul Hamid Bador #Ketua Polis Negara #Kuil Sri Maha Mariamman Seafield #Waytha Moorthy #Wolf Pack
;