Sajian program menarik sempena pelancaran Bulan Kebangsaan di Ipoh
Bernama
Jun 16, 2023 09:15 MYT
Jun 16, 2023 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelbagai program menarik akan disajikan kepada rakyat sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Ipoh, Perak, pada 15 Julai ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mastura Ahmad Mustafa, berkata antaranya adalah program 6,600 langkah perpaduan, Jualan Rahmah Perak Sejahtera, pameran oleh pelbagai agensi kerajaan serta saringan kesihatan secara percuma.
Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema Malaysia MADANI : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' di Bulatan Sultan Azlah Shah, Ipoh, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Majlis juga turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian serta pertandingan Bintang Patriotik untuk mereka yang ingin menyanyikan lagu-lagu patriotik," katan Mastura semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' yang diterbitkan Bernama TV, malam ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd Salahuddin Mohamed, berkata pihaknya juga turut mengadakan pelbagai program sepanjang Bulan Kebangsaan seperti Festival Semarak Bahasa dan Sastera bersama Orang Asli, Pertandingan Lagu Puisi berkaitan masyarakat Malaysia MAADANI dan program Sembang Orang Muda.
Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut mengenai program tersebut dengan melayari laman sesawang www.merdeka360.my .
-- BERNAMA