Sajat ditahan di Bangkok, lapor media

Astro Awani
September 20, 2021 13:29 MYT
Nur Sajat bersama seorang lagi lelaki berperwatakan wanita warga Thailand ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Nur Sajat ditahan pihak berkuasa Thailand selepas mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai usahawan kosmetik itu yang dikatakan berada di Bangkok, lapor Harian Metro pada Isnin.
Laporan memetik sumber itu memaklumkan, Nur Sajat, 36, bersama seorang lagi lelaki berperwatakan wanita warga Thailand ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok.
"Pada 4 Jun, pihak Imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
"Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak Imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia," kata sumber tersebut.
Sumber itu turut memaklumkan, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.
"Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
"Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat," katanya.
Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.
"Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari," katanya.
BACA: Polis buru Sajat kes tukar maklumat kad pengenalan
Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.
"Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.
"Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya," katanya.
#Nur Sajat #usahawan kosmetik #Bangkok #Imigresen
;