SAJ mahu pastikan bekalan air bersih untuk mangsa banjir
Shahrul Hassan
Januari 3, 2018 14:48 MYT
Januari 3, 2018 14:48 MYT
Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill akan memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Komunikasi Korporatnya, Jamaludin Jamil berkata, kakitangan SAJ menerusi Jawatankuasa Tindakan kini dalam keadaan siap siaga di setiap daerah untuk memantau keperluan air.
Jelasnya lagi, sekiranya perlu, SAJ juga akan menyediakan tangki statik, bagi membolehkan mangsa banjir menggunakan air bersih secukupnya.
Selain itu, kakitangan SAJ Ranhill juga diminta memastikan agar operasi seharian tidak terganggu bagi memastikan bekalan air lancar.
“Kita sudah meminta semua anggota kita dekat daerah sekarang dalam keadaan ini. Semua daerah berjaga-jaga dan selain daripada tempat pusat pemindahan banjir, kita juga akan pastikan operasi seharian kita tidak terganggu.
“Maknanya, kalau dalam keadaan hujan, sudah pasti kita boleh jangkakan mungkin ada tanah runtuh, menyebabkan paip boleh patah atau bocor. Sebab itulah kita siap siaga supaya lebih proaktif untuk menyegerakan tindakan,” ujar Jamaludin.
Setakat ini jelasnya, SAJ tidak menerima sebarang laporan mengenai kekurangan bekalan air di lokasi pusat pemindahan sementara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat pengumpulan bantuan banjir, yang dijayakan bersama sebuah stesen radio swasta negeri.
Misi bantuan tersebut mengumpulkan barang keperluan untuk golongan yang memerlukan di enam PPS di Mersing.
Pusat pengumpulan sementara yang dibuka di hadapan pejabat SAJ Ranhill Larkin sejak jam 9 pagi sehingga 1 petang hari ini mneyaksikan penglibatan orang ramai dalam menghulurkan bantuan.