Saiz perkhidmatan awam tidak akan dikuncupkan - KSN
Bernama
April 24, 2018 06:25 MYT
April 24, 2018 06:25 MYT
Kerajaan tidak akan mengecilkan jumlah atau saiz perkhidmatan awam di negara ini dalam mendepani evolusi Tranformasi Nasional 2050 (TN50).
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata kerajaan pastinya akan mewujudkan peranan baharu dalam pelbagai penyampaian perkhidmatan dan isu berkenaan tidak akan berbangkit.
"Kita tidak menolak akan berlaku banyak perubahan atau penambahbaikan berikutan inovasi dan kreativiti namun apa yang penting kita mengambil perubahan itu sebagai satu cabaran.
"Mungkin beberapa peratus jawatan sekarang sudah tidak relevan tetapi akan digantikan dengan jawatan baharu dan dalam hal ini isu mengecilkan saiz penjawat awam tidak berbangkit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat KSN Bersama Warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Selasa.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Datuk Seri Rohani Abdullah dan Naib Canselor UMK Datuk Husaini Omar.
Katanya TN50 adalah wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2050 melalui dasar, program dan projek yang bersesuaian.
"Ia adalah usaha merealisasikan hasrat meletakkan Malaysia antara 20 negara teratas di dunia," katanya
Pada majlis sama satu memorandum persefahaman ditandatangani antara UMK dan Puspanita dalam memperluaskan hubungan dua hala kedua-dua pihak dengan mewujudkan Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita.
Bagi merealisasikan tujuan itu Ali yang juga Penasihat Puspanita turut menyampaikan sumbangan pembiayaan kecemerlangan sebanyak RM50,000 kepada universiti keusahawanan itu.
-- BERNAMA