Saiz amaran bergambar di kotak rokok akan dibesarkan
Wan Syamsul Amly
Jun 2, 2013 12:33 MYT
Jun 2, 2013 12:33 MYT
Saiz amaran bergambar di kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 daripada 40 peratus untuk memberi amaran kepada pengguna tentang kesan kemudaratan merokok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ia termasuk dalam pindaan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang akan dicadangkan.
''Selain itu kita akan melarang semua bentuk promosi jualan rokok secara langsung atau tidak langsung serta melarang promosi jualan melalui diskaun.
''Selain itu, Kementerian akan mengurangkan tahap tar dan nikotina yang dibenar dalam setiap batang rokok secara berperingkat selain tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang menjual ,membeli dan memiliki rokok tidak sah,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffry Cheah, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Dr. Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Azman Abu Bakar.
Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia merupakan acara tahunan Kementerian Kesihatan yang disambut pada 31 Mei.
Tema sambutan yang ditetap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun ini, 'Larangan Pengiklanan, Promosi dan Tajaan Syarikat Rokok namun sambutan di negara ini diperkukuh dengan slogan 'Bukalah mata...jangan jadi mangsa'.
Fokus sambutan untuk menarik perhatian serius masyarakat kepada isu-isu penting berkaitan usaha memerangi tabiat merokok.
Tambah Subramaniam, purata 10 sehingga 12 peratus sebab kematian di negara ini setiap tahun berpunca dari amalan merokok.
Tegasnya, angka itu mewakili lebih 10 ribu kematian dan dijangka meningkat jika tiada kesedaran awam kepada amalan itu.
''Pada 2011,pecahan pengagihan merokok yang merangkumi jumlah keseluruhan kematian di hospital kerajaan adalah 11,056 keseluruhannya.
''Penggunaan produk tembakau adalah satu-satunya penyebab yang menyumbang kepada kematian yang boleh dicegah dan bertanggungjawab membunuh seorang individu daripada 10 orang dewasa secara global,'' katanya.
Tambah Subramaniam, tinjauan Kesihatan Kebangsaan Malaysia pada 2011 menunjukkan kadar perokok di negara ini melebihi empat juta orang.
''Wabak ini membunuh enam juta orang seluruh dunia setiap tahun dimana 600 ribu adalah perokok pasif.
''Jika tidak dikawal, ia akan membunuh lebih 8 juta setiap tahun menjelang tahun 2030,'' ujarnya.
Oleh itu katanya, masyarakat harus sentiasa bekerjasama untuk memastikan usaha Kementerian dalam membasmi tabiat merokok mencapai matlamatnya.