Saintis Islam tubuh hab dalam talian
Bernama
Januari 2, 2017 07:06 MYT
Januari 2, 2017 07:06 MYT
Anggota delegasi Program Pertukaran Sains dan Teknologi Negara Islam (STEP) bersetuju menubuhkan hab dalam talian sebagai platform untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta menjadi akses bagi amalan terbaik dalam kalangan mereka.
Mereka juga bersetuju mewujudkan sebuah tabung wakaf untuk membiayai aktiviti berkaitan sains dan teknologi di negara Islam.
Demikian antara perkara yang terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir program tersebut yang dianjurkan bersama Mustafa Science and Technology Foundation (MSTF) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
"Kami perlu memberi fokus kepada aktiviti saintifik untuk menangani isu besar yang dihadapi negara Islam seperti penghasilan air bersih dan penyahgaraman, tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain lagi," kata Prof Sa'eed Sarkar, wakil MSTF ke program itu dalam kenyataan di sini.
Acara tersebut dihadiri kira-kira 210 penyelidik, sarjana, saintis dan ahli akademik Islam dari seluruh dunia, termasuk Bangladesh, Mesir, Arab Saudi, Iran, Jordan, Malaysia, Maghribi, Oman, Pakistan, Turki, India dan Singapura.
Program berkenaan turut mengandungi perbincangan meja bulat, bengkel dan ucapan yang disampaikan tokoh terkenal seperti ahli kimia dari Jordan Prof Omar Yaghi dan ahli teknologi nano dari Singapura Prof Jackie Ying.
Mereka adalah pemenang Hadiah Mustafa 2015 yang memberi pengiktirafan terhadap saintis Islam.
-- BERNAMA