Sains tingkah laku pertahanan untuk sistem kesihatan - Khairy
Madiha Abdullah
Mei 27, 2022 05:30 MYT
Mei 27, 2022 05:30 MYT
GENEVA: Penekanan terhadap sains tingkah laku atau behavioural science dilihat antara faktor utama kejayaan program vaksinasi di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, unit tingkah laku kini merupakan keperluan bagi setiap kementerian, organisasi atau kerajaan terutama sekali dalam mengumpul dan memperoleh data yang tepat.
Bercakap pada sesi meja bulat Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Sesi ke-75 mengenai Behavioural Sciences for Better Health di Geneva pada Jumaat, Khairy menegaskan komunikasi yang tepat dan jelas memainkan peranan penting untuk merubah gaya hidup masyarakat, sekali gus melindungi sistem penjagaan kesihatan.
"Adalah penting untuk mempunyai kepercayaan dan komunikasi yang jelas.
"Ini soal kredibiliti, sebelum orang ramai membuat keputusan untuk mengubah cara mereka hidup, penetapan konteks perlu dilakukan dengan cara yang telus, jangan merendahkan atau berceramah.
"Jika mereka tidak ikut peraturan, jangan anggap mereka juga punya keyakinan dan pandangan sama seperti anda.
"Untuk penyakit tidak berjangkit (NCD), terdapat begitu banyak faktor sosio-ekonomi, penentu kepada kesihatan, bukan setakat menggesa orang ramai untuk hidup lebih sihat, makan makanan sihat. Kadang-kadang ia tidak mungkin bagi mereka.
"Oleh itu, jangan buat tanggapan, tetapi anda boleh menggunakan norma sosial dan ini adalah ciri dalam Sains Tingkah Laku.
"Apa yang kami lakukan ialah, kami beritahu, anda belum divaksinasi tetapi 80 peratus daripada populasi telah divaksin, jadi pergilah mendapatkan vaksin.
"Penetapan norma sosial seperti itu adalah sangat penting untuk membawa perubahan terutama dalam bab vaksin," katanya.
Khairy, yang dilantik sebagai naib presiden WHA edisi kali ini turut menegaskan kepentingan mengeluarkan arahan yang memudahkan, selain memberi dorongan tingkah laku yang bersesuaian.
WHA, badan pentadbir utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ialah acara tahunan yang menghimpunkan menteri kesihatan, ketua pengarah kesihatan dan pakar industri, bagi mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan dasar, program, hala tuju WHO, komitmen dan strategi baharu mengenai penjagaan kesihatan.