Saingan antara Hisham dan Mukhriz memang sudah dijangka - Najib

Astro Awani
Oktober 20, 2013 08:28 MYT
Persaingan sengit antara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam merebut slot untuk jawatan Naib Presiden UMNO dalam Pemilihan UMNO semalam sememangnya sudah dijangkakan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persaingan tersebut menunjukkan pemilihan kali ini merupakan satu persaingan yang sihat.
“Proses pemilihan yang dilakukan juga terbuka dan sudah tentu, kedua-dua tokoh ini merupakan antara tokoh-tokoh yang popular dan mempunyai sokongan masing-masing,” kata Najib kepada pemberita dalam satu sidang media di Putrajaya petang tadi.
Najib menambah, meskipun Mukhriz merupakan calon yang baru bagi pemilihan Naib Presiden, beliau juga telah menunjukkan terdapatnya sokongan yang baik terhadap beliau dalam parti.
Dalam masa sama juga, walaupun Mukhriz mendapat undi popular yang lebih dari Hishammuddin, namun parti akan sentiasa menggunakan sistem sedia ada dalam memilih pemimpin.
Sementara, itu, Najib turut berpendapat UMNO tidak semestinya perlu menampilkan barisan kepimpinan yang baharu bagi memastikan transformasi dalam parti berlaku.
Najib menegaskan apa yang penting agenda perubahan itu sudah lama dimulakan dan ahli UMNO percaya pemimpin yang mereka pilih pada pemilihan semalam mampu menjayakan tranformasi berkenaan.
"Soal utamanya ialah sama ada pasukan yang telah dipilih oleh akar umbi mampu melaksanakan agenda transformasi negara. Jawapannya ialah, mereka komited dan saya percaya pasukan ini mampu menterjemahkan agenda transformasi iaitu ke arah sebuah negara maju." katanya.
Najib berkata demikian sebagai mengulas pelantikan semula ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden parti itu.
"Mereka dipilih oleh 150,000 ahli parti, kita perlu hormati pilihan itu, ia bukan dipilih oleh 2,500 orang seperti sebelum ini tetapi 150,000 orang yang telah memilih barisan baharu ini."
Katanya ketiadaan muka baru dalam barisan kepimpinan tertinggi parti tidak menjadi satu masalah kerana sebagai presiden beliau mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti untuk melantik beberapa ahli Majlis Tertinggi, MT tambahan.
#Ahmad Zahid Hamidi #Hishammuddin Tun Hussein #majlis tertinggi #Mukhriz Mahathir #Najib Tun Razak #pemilihan #Pemilihan UMNO #Shafie Apdal #UMNO