Saiful Bukhari selamat diijabkabul dengan personaliti TV

Bernama
Mei 25, 2013 19:13 MYT
Selepas menjalin perhubungan sejak dua tahun lalu, hari ini Mohd Saiful Bukhari Azlan dan personaliti TV3 Nik Suryani Megat Deraman selamat diijabkabulkan di Masjid Kristal, Pulau Wan Man di sini.
Ketika ditemui pemberita, Mohd Saiful berkata perhubungan mereka bukan satu perjalanan yang mudah namun tekad untuk mengharungi segala dugaan dan saling menyokong antara satu sama lain menjadi pegangan mereka hingga selamat bergelar suami-isteri.
Biarpun terpalit sejarah hitam berhubung kes liwatnya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful, 28, berkata dia mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain dan berharap perkahwinan dengan isterinya itu akan berkekalan sehingga hujung nyawa.
"Saya bersyukur doa saya dimakbulkan untuk mendirikan rumahtangga dengan Nik Suryani dan saya berharap kami dapat menempuh segala ujian pada masa depan dan saya yakin perkahwinan ini memberi kekuatan kepada saya dalam apa jua perkara yang saya akan lalui pada masa depan," katanya.
Dengan sekali lafaz, Mohd Saiful sah menjadi suami Nik Suryani dan majlis akad nikah pengantin baru itu disaksikan kira-kira 100 tetamu termasuk ibu bapa kedua-dua pengantin.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa Nik Suryani, Megat Deraman Megat Stan pada kira-kira 3.30 petang dengan pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM41,101 serta sembilan dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas dengan 11 dulang.
Mohd Saiful yang mengenakan baju Melayu berwarna putih sedondon dengan persalinan Nik Suryani, ilham daripada pereka fesyen terkemuka, Zang Toi, dilihat tenang sepanjang majlis pernikahan itu berlangsung.
Ketika ditanya mengenai keadaannya ketika pertama kali berjumpa keluarganya isterinya itu, beliau mengaku agak gementar kerana 'disoal siasat' 10 anggota keluarga mentuanya itu.
"Ketika itu, macam-macam soalan yang ada dan saya dengan tenang menjawab soalan mereka sebelum mereka menerima saya," katanya.
Nik Suryani,33, pula berkata beliau bersyukur perhubungan mereka berakhir dengan ikatan yang sah dan mengakui keputusan untuk memilih Mohd Saiful sebagai suami adalah tepat kerana sikap lelaki itu yang sangat jujur dan mempunyai semangat yang kental.
Jelasnya, beliau amat kagum dan jatuh hati dengan keperibadian suaminya kerana berani untuk mengakui perkara buruk yang berlaku kepadanya yang dianggapnya bukan satu tindakan yang mudah dan mampu dibuat orang lain.
"Saya kenal dia ketika membuat liputan tentang kes (perbicaraan) dia dan selepas itu kami menjadi rapat dan sepanjang perhubungan ini, saya langsung tidak terfikir tentang soal kes itu dan saya mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya (Allah swt)," katanya.
Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan pada 8 malam ini pada majlis resepsi pengantin perempuan bertemakan tradisional songket di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man manakala majlis resepsi pengantin lelaki di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 2 Jun.
#Anwar Ibrahim #Nik Suryani #Saiful Bukhari Azlan #tv3
;