Saifuddin saran mahasiswa jadi pemerhati sebelum bertanding
Bernama
Februari 1, 2013 21:30 MYT
Februari 1, 2013 21:30 MYT
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyarankan mahasiswa di negara ini menjadi pemerhati terlebih dahulu sebelum berhasrat bertanding pada pilihan raya umum.
Beliau berkata terdapat 16 badan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan mahasiswa disaran menyertai NGO berkenaan terlebih dahulu, sebagai pendedahan awal mereka dalam kancah politik negara.
"Sekalipun mereka berminat (untuk bertanding), namun adalah wajar bagi mereka menyertai mana-mana parti politik dahulu, sertailah parti politik yang boleh membawa pembangunan, kesejahteraan kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Saifuddin berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada hujung tahun lepas membenarkan mahasiswa menyertai mana-mana parti politik dan bebas untuk bertanding pada pilihan raya.
"Mahasiswa kini telah diberikan kebebasan menentukan hala tuju politik masing-masing, namun mereka mestilah bersandarkan kepada peraturan dan undang-undang negara..
"Suara mahasiswa untuk berpolitik didengari kerajaan, tetapi mereka perlu bijaksana memilih parti dan badan bukan kerajaan yang menepati aspirasi negara," katanya.