Saifuddin pertahan hasil kajian berhubung laporan harga barangan
Bernama
Julai 7, 2018 15:45 MYT
Julai 7, 2018 15:45 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertahankan hasil kajian pihaknya yang mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 Jun lepas.
Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata selain pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP selama sebulan, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuk di Pasar Bayan Baru, di sini pagi ini.
"Penguat kuasa KPDNHEP telah buat tinjauan di 1,688 premis membabitkan 417 pelbagai barangan yang selalu digunakan pengguna antaranya barangan basah, kering serta keperluan bayi dan 70 peratus daripadanya turun 0.04 hingga 13 peratus.
"Dalam tinjauan saya hari ini, peniaga turut mengakui harga barangan menyaksikan penurunan sama seperti tinjauan yang dibuat di peringkat kementerian sebelum ini," katanya selepas melawat Pasar Bayan Baru, dekat sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan kenyataan Saifuddin Nasution mengenai penurunan harga barangan bagi tempoh 1 hingga 30 Jun lalu termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mendesak Saifuddin mendedahkan laporan kajian itu supaya rakyat dapat membuat perbandingan dengan realiti harga di pasaran.
Katanya peniaga juga mengakui ada penurunan harga barangan yang dibeli daripada pemborong dan mereka boleh tawarkan harga lebih murah kepada pembeli.
Saifuddin Nasution yang juga wakil rakyat Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata tinjauan yang dilakukan juga mendapati kesediaan untuk berbelanja dalam kalangan pembeli menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini berikutan harga barangan yang lebih murah.
"Saya tanya peniaga-peniaga, mereka maklumkan orang ramai kini semakin berani untuk berbelanja selepas GST pada kadar sifar dan trend berbelanja meningkat, saya percaya maklum balas itu munasabah kerana peniaga lebih mengenali tabiat pembeli," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 4,000 aduan diterima KPDNHEP sepanjang bulan lepas dan lebih 50 peratus daripadanya berkisar pada harga barangan tidak berubah malah ada yang meningkat selepas GST pada kadar sifar.
"Jumlah aduan bulan lepas meningkat banyak berbanding bulan Mei dan semua aduan itu diterima melalui e-portal, talian hotline serta laman web KPDNKEP. Berdasarkan aduan, kami dapati banyak berkaitan harga makanan dan minuman yang meningkat di restoran, kedai makan serta medan selera. Penguat kuasa kami mengambil tindakan segera dengan membuat pemeriksaan," katanya.
-- BERNAMA
#barangan
#GST
#harga
#kadar sifar
#Kajian
#KPDNHEP
#pasar
#pengguna
#peniaga
#Saifuddin Nasution Ismail
#tinjauan