Saifuddin Nasution akui perlu baiki isu di pintu masuk negara, bakal umum perubahan
Bernama
Mei 2, 2024 21:41 MYT
Mei 2, 2024 21:41 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui terdapat ruang yang boleh ditambah baik berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara.
Beliau berkata hampir setiap hari pihaknya berbincang bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.
"Saya yakin dalam masa terdekat ini ada beberapa pengumuman (mengenai) pencetus perubahan yang kita buat, ini bagi memudahkan ketibaan pengembara supaya tidak perlu bersesak... kita akui ada limitasi tetapi tekad kami, tidak ada benda yang tidak boleh diikhtiar jalan keluar... teguran dan asakan berterusan (Perdana Menteri) Datuk Seri (Anwar Ibrahim), kami tidak ambil hati sebaliknya kami anggap ini sebagai cabaran," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Kementerian Dalam Negeri hari ini yang turut dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menegur Jabatan Imigresen berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang.
Menyifatkan teguran itu ibarat 'kasih kepada anak' bagi menambah baik perkhidmatan agensi berkenaan dalam menangani isu kesesakan kemasukan pelancong asing ke Malaysia, Perdana Menteri berkata pelancong tidak akan menerima sebarang alasan susulan kelewatan yang mengakibatkan mereka menunggu lebih lama dan berharap perkara tersebut dapat ditangani dengan baik.
-- BERNAMA