Saifuddin nafi dakwaan KDN pinda akta kawal media dalam talian

Sinar Harian
Mac 1, 2024 18:15 MYT
Saifuddin (tengah) ketika sidang media di Kementeriannya di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
Menurutnya, tiada sebarang cadangan untuk meminda akta berkenaan bagi memasukkan segmen media dalam talian.
Sebaliknya beliau berkata, sekiranya ada pindaan yang akan dilaksanakan, ia hanyalah membabitkan nilai kompaun pelanggaran.
"Tidak ada dalam radar kami setakat ini," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Sementara itu, beliau turut menafikan desas-desus pihaknya menentang pertubuhan Majlis Media Malaysia.
"Saya ditanya betul ke KDN menentang penubuhan Majlis Media ini.
"Saya terkejut jugalah (kerana) perkara ini dibincang di dalam mesyuarat Kabinet yang lepas.
"Selepas semakan dibuat dengan Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Ruji Ubi), tiada pun pendirian yang menunjukkan kementerian tidak bersetuju dari dasar. Itu tak betul," katanya.
Pada 20 Februari lalu, kerajaan dilapor berada di dalam fasa terakhir untuk membawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) ke Kabinet.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penubuhan Majlis Media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Kementerian Dalam Negeri #Saifuddin Nasution #pinda akta #Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
;