Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat kerjasama strategi dua hala di Thailand

Bernama
Ogos 8, 2022 04:15 MYT
Saifuddin juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Selasa. - Gambar fail/BERNAMA
BANGKOK: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Ke-14 Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JC) dan Mesyuarat ke-5 Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan ( JDS) di Bangkok, mulai Selasa.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata mesyuarat dua hari itu akan dipengerusikan bersama oleh Saifuddin dan rakan sejawatannya dari Thailand Don Pramudwinai, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Mesyuarat dengan tema "Meningkatkan Kekuatan Dalam menghadapi Cabaran" (Fostering Resilience in Times of Challenges) itu menekankan kepentingan Thailand dan Malaysia bekerjasama untuk menyusun strategi dan menetapkan hala tuju kerjasama dua hala dalam meningkatkan daya tahan dan usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik serta menangani cabaran global yang lain.
"Dalam hal itu, tumpuan khusus akan diberi kepada cara untuk menggalakkan (1) perlindungan rakyat untuk memastikan keselamatan mereka daripada ancaman tradisional dan bukan tradisional; (2) kemakmuran rakyat dengan membuka peluang ekonomi dan sosial untuk mereka serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan; dan (3) perkongsian lebih erat antara Thailand dan Malaysia di semua peringkat untuk memajukan kepentingan bersama kedua-dua negara," kata kenyataan itu.
Semasa lawatannya, Saifuddin juga dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Selasa.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #Mesyuarat Dua Hala #Kementerian Luar #malaysia-thailand
;