Saifuddin hadiri upacara pelantikan presiden baharu Filipina Marcos Jr. pada 30 Jun

Bernama
Jun 29, 2022 17:52 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan kerja ke Filipina mulai Rabu hingga 1 Julai bagi menghadiri upacara pelantikan Ferdinand R. Marcos Jr. sebagai Presiden Filipina pada 30 Jun. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan kerja ke Filipina mulai Rabu hingga 1 Julai bagi menghadiri upacara pelantikan Ferdinand R. Marcos Jr. sebagai Presiden Filipina pada 30 Jun.
Lawatan ini merupakan manifestasi hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Filipina sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1959, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).
Malaysia bersedia untuk terus meningkatkan lagi hubungan dengan Filipina di bawah pimpinan Marcos, dalam konteks kerjasama dua hala antara dua negara jiran terdekat, juga dalam kerangka ASEAN serta forum-forum pelbagai hala, menurut kenyataan itu.
Marcos Jr. dilantik Presiden ke-17 republik itu selepas memenangi pilihan raya presiden pada Mei.
Semasa lawatan itu, Saifuddin juga dijadual mengadakan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia yang menetap di Manila.
Pada 2021, Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM32.53 bilion (US$$7.84 bilion), peningkatan 24.6 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.
-- BERNAMA
#Menteri Luar #Saifuddin Abdullah #lawatan kerja #Filipina #presiden baharu #Ferdinand R Marcos Jr
;