Saifuddin garis 4 tonggak Wisma Putra, 12 pencapaian 2019, 12 hala tuju 2020

Harits Asyraf Hasnan
Januari 3, 2020 18:39 MYT
Saifuddin sewaktu membentangkan kad laporan pencapaian 2019 serta hala tuju kementeriannya bagi tahun 2020 di sini hari ini. - Foto Astro AWANI /SHAHIR OMAR
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menggariskan 12 pencapaian kementeriannya bagi tahun 2019 menerusi empat tonggak utama.
Malah, beliau turut menetapkan 12 sasaran pencapaian bagi tahun 2020 yang perlu dicapai Wisma Putra.
Empat tonggak tersebut adalah:
i) Hala tuju, pendekatan dan penekanan baharu dasar luar
ii) Pemerkasaan Kementerian Luar
iii) Pengukuhan kerjasama antara agensi
iv) Peningkatan kerjasama kerajaan dan masyarakat madani
Pencapaian Kementerian Luar 2019
1. Pelancaran Kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia Baharu oleh YAB Perdana Menteri, 18 September 2019
Kerangka Dasar Luar adalah manifestasi reformasi dari sebuah negara yang ‘government-centric’ kepada ’people-centric’. Kerangka ini dipersiapkan melalui proses rundingan yang melibatkan, antaranya, Jemaah Menteri, pemimpin Pakatan Harapan, pegawai kanan Kementerian Luar Negeri, ahli Parlimen, ahli akademik, diplomat Malaysia yang telah bersara dari perkhidmatan, usahawan, wakil-wakil korporat, golongan profesional serta ahli-ahli masyarakat madani (CSO) termasuk golongan belia.
2. Penyerahan Penghujahan Separa oleh Malaysia kepada Suruhanjaya Mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS)
Malaysia telah mengemukakan penghujahan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 12 Disember 2019 tentang tuntutan terhadap baki kawasan pelantar benua Malaysia di bahagian Utara Dangerous Ground di Laut China Selatan (Tuntutan Kawasan Batas-Batas Pelantar Benua Malaysia Fasa II). Ini memastikan kedaulatan sempadan perairan negara dilindungi dan terpelihara berdasarkan data teknikal dan saintifik yang disertakan.
3. Penandaan dan Pengukuran Sempadan Antarabangsa antara Malaysia (Sabah & Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan Utara & Kalimantan Barat)
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Penandaan dan Pengukuran Sempadan Antarabangsa antara Malaysia (Sabah & Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan Utara & Kalimantan Barat) telah diadakan pada 21 November 2019. Ia merupakan suatu lonjakan penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam menyelesaikan isu sempadan yang melangkaui rundingan selama 40 tahun.
4. Singapura : Fasa Kedua Perjanjian Air, Had Sempadan Pelabuhan Johor dan Seletar
Perbincangan awal yang positif antara Malaysia dan Singapura telah bermula mengenai Perjanjian Air 1962.Malaysia dan Singapura juga telah berjaya menubuhkan satu jawatankuasa had persempadanan maritim (Malaysia – Singapore Committee on Maritime Boundary Delimitation) khususnya bagi merundingkan bahagian barat Selat Singapura berhampiran Tanjung Piai dan Tuas.
5. Diplomasi Awam
Ke arah merakyatkan Dasar Luar Negeri, Kementerian senantiasa memastikan penglibatan orang awam dari pelbagai peringkat seperti organisasi masyarakat sivil (CSOs), institusi pengajian tinggi, golongan pemikir, akademia melalui program-program seperti berikut:-
• Hari Terbuka anjuran IDFR dan SEARCCT;
• Lawatan Akademik ke Kementerian
• Program Seranta; dan
• Sesi Dialog berkenaan Dasar Luar
Kementerian juga telah mengambil pendekatan proaktif untuk meperkasakan kempen kesedaran awam berkenaan isu-isu konsular untuk paparan di media sosial Kementerian dan Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia.
6. Pengerusi bagi Jawatankuasa Persediaan Triti
Ketidakcambahan Senjata Nuklear 2019 Malaysia melalui Wisma Putra telah mempengerusi dan mengetuai perbincangan Jawatankuasa Persediaan (PrepCom) bagi Persidangan Semakan Semula Triti Ketidakkcambahan Senjata Nuklear dengan jayanya dari 29 April – 10 May 2019. Mesyuarat tersebut membincangkan persediaan bagi penganjuran Persidangan Kajian Semula Ketidakcambahan Senjata Nuklear yang akan diadakan pada tahun 2020.
7. Program Pelawat 2019
Buat julung kalinya, Wisma Putra menganjurkan program kepimpinan berorientasikan belia dari 4 - 8 November 2019 yang dihadiri oleh peserta dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, sebagai satu platform untuk pemimpin muda dan masa hadapan dari rantau ASEAN dan negara-negara Selatan.
8. Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 ( KL Summit 2019)
Lima (5) Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimuktamadkan bersama entiti swasta negara-negara utama yang menyertai Sidang Kemuncak KL (Indonesia, Malaysia, Pakistan, Qatar dan Turki) MOU tersebut merangkumi bidang tenusu berskala besar. Urus Setia Sidang Kemuncak KL (Dialog Perdana) dijangka akan mengambil langkah susulan terhadap semua keputusan yang dicapai dan MoU yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak tersebut.
9. Persarjanaan Diplomat
Satu program akademik untuk pegawai Wisma Putra melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dengan objektif utama dalam melahirkan pakar bidang terutamanya dalam bidang strategik dasar luar negeri.
10. Pemilihan Semula sebagai ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO)
Malaysia sekali lagi telah berjaya dipilih semula sebagai ahli Majlis IMO di bawah kategori C bagi penggal 2020-2021. Malaysia telah mendapat undian ketiga tertinggi dengan memperolehi sejumlah 142 undi daripada negara-negara anggota IMO.
11. Universal Periodic Review (UPR)
Wisma Putra telah menginstitusikan mesyuarat berkala dengan agensi-agensi kerajaan dan masyarakat madani (CSO) sebanyak dua kali setahun bagi memantau dan melaksana cadangan dari UPR pusingan Ketiga.
Hasil kerjasama erat antara Wisma Putra, UN Country Team, SUHAKAM dan masyarakat madani (CSO), satu pangkalan data / matriks UPR yang bersifat rentas isu telah dibangunkan buat pertama kali yang juga memantau pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), triti-triti berkenaan dan Pelan Nasional Hak Asasi Manusia.
12. Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa
Penubuhan Jawatankuasa ini telah diperakukan oleh Dewan Rakyat yang turut meluluskan pelantikan tujuh (7) orang ahli Parlimen untuk menganggotai Jawatankuasa tersebut pada 5 Disember 2019. Kementerian akan membantu Jawatankuasa ini dalam menyediakan input yang relevan dan mengalu-alukan sebarang idea bagi menambah baik dasar kerajaan.
Sasaran Pencapaian 2020
1. Meningkatkan Perwakilan Malaysia di luar negara
Sasaran pembukaan Perwakilan Malaysia ke Palestin berpusat di Amman, Jordan serta pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang lanjutan pemulihan semula hubungan dua hala Malaysia-Korea Utara, berserta Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turki. Malaysia juga akan melantik Konsul Kehormat Malaysia di Iraq, Libya dan Yemen.
2. Ulang Tahun ke-75, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN@75)
• Reformasi PBB – Wisma Putra akan melibatserta pemegang taruh meluas dikalangan anggota Kerajaan, ahli akademik, masyarakat antarabangsa, masyarakat madani (CSO) dan media mengenai proses reformasi PBB terutamanya berkenaan reformasi Majlis Keselamatan PBB.
• Ulangtahun ke-25 Persidangan Dunia Mengenai Wanita (Beijing+25) ke-empat – Bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan terutamanya KPWKM serta pemegang taruh yang lain sebagai persiapan penyertaan Malaysia di dalam Sesi Meja Bulat Beijing+25.
• UN2020 – Wisma Putra akan berbincang bersama masyarakat madani (CSO) seperti National Organising Committee of the ASEAN’s Peoples’ Forum/ ASEAN Civil Society Conference (APF/ACSC) dan CSO Platform for Reform, mengenai sasaran Malaysia di dalam UN@75 dan untuk membangkitkan perkara tersebut sewaktu Persidangan UN2020.
• Triti Ketidakcambahan Senjata Nuklear - Malaysia akan berterusan memperjuangkan usaha-usaha ke arah pelucutan senjata secara umum dan komprehensif, serta memenuhi komitmen yang telah dipersetujui semasa Persidangan Kajian Semula NPT yang lalu.
3. Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Kecemerlangan Maritim
Wisma Putra melalui Jabatan Hal Ehwal Maritim, sedang menyediakan draf kertas konsep mengenai penubuhan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Kecemerlangan Maritim.
4. Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Ke-9, Kuala Lumpur, Jun 2020
Merupakan satu platform untuk semua Ketua-Ketua Perwakilan (HOM) membincang dan menerima maklumat terkini mengenai pelbagai dasar, strategi dan pendekatan Kerajaan. Persidangan yang terakhir telah diadakan pada Februari 2014.
5. Pengurusan Ilmu (Knowledge Management)
Inisiatif ini memusatkan kebijaksanaan, maklumat dan ilmu tentang hubungan antarabangsa bagi kemudahan rujukan oleh pegawai Wisma Putra, Kementerian dan Agensi lain serta orang awam. Wisma Putra juga akan melancarkan Anugerah Penerbitan Wisma Putra 2020 buat julung kalinya pada bulan Ogos ini. Majlis anugerah tersebut adalah untuk mengiktiraf penulisan yang dihasilkan oleh penulis tempatan mengenai hubungan antarabangsa.
6. Rasionalisasi Perwakilan dan Agensi Di Luar Negara
Wisma Putra telah memuktamadkan perbincangan mengenai rasionalisasi Fasa Pertama ini bersama JPA serta Kementerian / Agensi yang lain. Rasionalisasi ini akan menyusun semula institusi perkhidmatan awam serta meminimakan pertindihan fungsi, peranan dan tanggungjawab antara Agensi. Ini dapat mengoptimumkan sumber manusia serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan.
7. Kerjasama Dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Tentang Pengundian Di Luar Negara
Wisma Putra akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pembaharuan sistem pengundian di luar negara. Maklumat terperinci tentang cara-cara rakyat Malaysia untuk mendaftar dan memohon untuk mengundi di luar negara akan diuar-uarkan sebaik sahaja dimuktamadkan.
8. Diplomasi Ekonomi: APEC 2020 Bersama MITI
Setelah 22 tahun, Malaysia akan sekali lagi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC. Wisma Putra akan bekerjasama rapat dengan MITI untuk mempromosikan kepentingan ekonomi negara di peringkat antarabangsa. Ia juga memberikan peluang untuk Malaysia menonjolkan inisiatif nasional seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.
9. Meningkatkan Perkhidmatan kepada Rakyat
Wisma Putra akan melaksanakan sepenuhnya Fasa 2 Sistem e-Protokol dan akan dinaik taraf seiring dengan pendigitalan perkhidmatan awam
10. Platform Antarabangsa untuk Belia, Organisasi Masyarakat Madani, Penggubal Undang-Undang dan Organisasi Antarabangsa
Wisma Putra akan terus bekerjasama dengan kumpulankumpulan belia, penggubal undang-undang serta organisasi-organisasi lain untuk menggiatkan keterlibatan Malaysia dalam program dan mesyuarat antarabangsa bagi mempromosikan dasar luar Malaysia Baharu.
11. Menjadikan Malaysia sebagai hub bagi NGO-NGO antarabangsa
Wisma Putra akan berusaha untuk menghasilkan ekosistem yang kondusif bagi NGO-NGO dan masyarakat madani antarabangsa bagi mempromosi Malaysia sebagai satu destinasi moderat dan inklusif bagi pembangunan modal insan.
12. Perbincangan Meja Bulat Kewujudan Bersama dalam Budaya Damai (Peaceful Coexistence)
Satu Perbincangan Meja Bulat mengenai Kewujudan Bersama dalam Kepelbagaian sedang dirancang membabitkan kerjasama antara Institut Darul Ehsan dan Westminster Foundation for Democracy di London, United Kingdom. Perbincangan tersebut dijangka akan diadakan pada Februari 2020. Pelbagai acara sampingan turut dirancang untuk diadakan sewaktu mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland.
#Kad Laporan Kementerian Luar #Kementerian Luar #Pakatan Harapan #PBB #Saifuddin Abdullah #Wisma Putra
;