Saifuddin enggan ulas laporan dua rakyat Malaysia ditahan imigresen Indonesia

Sinar Harian
Julai 26, 2022 18:00 MYT
Saifuddin turut memaklumkan, Kabinet telah membuat keputusan pada Jumaat lalu bahawa Myanmar seharusnya tidak dijemput menghantar perwakilan politik ke semua mesyuarat di peringkat menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah enggan mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang dilaporkan ditahan pihak imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia kerana disyaki menjadi pengintip.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, menteri lain akan menjawab mengenai isu terbabit.
“Yang ini biar menteri lain jawab,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sebelum itu, dilaporkan seramai tiga rakyat asing yang disyaki menjadi pengintip ditahan pihak imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia.
Lapor Kompas.com, Ketua Kelas II, Pejabat Imigresen Tempat Pemeriksaan, Washington Saut Dompak berkata, dua individu tersebut merupakan rakyat Malaysia manakala seorang lagi warga China.
Jelasnya, kesemua suspek yang memasuki negara dari sempadan antarabangsa Tunon Taka, Nunuka, Kalimantan Utara akan ditahan selama 30 hari.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, Kabinet telah membuat keputusan pada Jumaat lalu bahawa Myanmar seharusnya tidak dijemput menghantar perwakilan politik ke semua mesyuarat di peringkat menteri.
“Pendirian Malaysia ialah Myanmar tidak sepatutnya dijemput untuk menghantar perwakilan politik ke semua sidang kemuncak ASEAN kerana kami tidak melihat kemajuan yang jelas dalam konsensus lima perkara.
“(Disebabkan) itu kami telah memutuskan untuk mengemukakan pendirian ini,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin negara-negara anggota ASEAN mencapai lima kata sepakat mengenai krisis Myanmar selepas rampasan kuasa pada mesyuarat khas pemimpin blok serantau itu di Jakarta baru-baru ini.
*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#Saifuddin Abdullah #pengintip #Indonesia #Dewan Rakyat
;