Saifuddin adakan pertemuan dengan Menteri Luar NUG Myanmar
Bernama
Mei 14, 2022 04:00 MYT
Mei 14, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Sabtu mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Luar Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Zin Mar Aung di Washington D.C.
Dalam catatan Twitternya, Saifuddin berkata beliau menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Myanmar dan bersedia berusaha ke arah memulihkan keamanan serta demokrasi di negara itu.
"Kami mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini di Myanmar, Zin berkongsi pandangan serta cabaran dihadapi NUG, termasuk bantuan kemanusiaan, latihan teknikal dan pendidikan untuk pelarian Myanmar," katanya.
Saifuddin sebelum ini mengulangi pendirian Malaysia bahawa Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar harus melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk wakil dari NUG Myanmar dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).
Beliau membuat gesaan itu pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Luar ASEAN pada Khamis di Washington D.C. yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-AS pada 12 hingga 13 Mei.
-- BERNAMA