Sahur, iftar, tarawih berteman kabus di tapak perkhemahan Masjid Lojing

Aida Aziz
April 9, 2024 08:30 MYT
Tapak perkhemahan Masjid Lojing, di tanah tinggi Lojing menjadi tarikan pada Ramadan.
GUA MUSANG: Bersahur dan berbuka puasa ditemani pemandangan kabus yang menakjubkan dalam suhu sejuk di tapak perkhemahan, di samping tidak mengabaikan solat sunat tarawih di malam hari.
Itu kelebihan yang ada di Tapak Perkhemahan Masjid Long Tan atau dikenali sebagai Masjid Lojing, di Lojing Highlands di sini, yang terletak di sempadan Pahang-Kelantan dan kira-kira 40 minit pemanduan dari Tanah Rata, Cameron Highlands.
Bulan Ramadan bukanlah menjadi sebab untuk membataskan aktiviti yang menyihatkan mental dan fizikal, lebih-lebih lagi apabila ia membuatkan seseorang itu mengagumi serta menghargai alam semula jadi ciptaan Allah.
Minat aktiviti berkhemah sejak dua tahun lalu membuatkan, Mohd Redzan Che Amat, 51, dan isteri, Intan Roslina Ismail, 49, dari Kuala Lumpur gemar meneroka lokasi baharu di tanah tinggi.
Malah, menurut Redzan, lokasi tapak perkhemahan itu yang dekat dengan masjid menjadi penyebab mengapa ia unik untuk dilawati pada bulan Ramadan, membolehkan dia serta keluarga meluangkan masa berkhemah dan pada masa sama menghidupkan malam dengan ibadat termasuk solat tarawih.
Bagaimanapun, katanya, dia memilih hari biasa berbanding hari minggu kerana tapak perkhemahan itu tidak pernah putus dengan pengunjung yang minat aktiviti sama.
"Sebenarnya dari tahun lepas kami sekeluarga rancang berkhemah di situ, lagipun kawasan itu dekat dengan masjid.
"Alhamdulillah, di samping meneruskan aktiviti berkhemah, kita dapat beriktikaf, tadarus, solat lima waktu dan tarawih di masjid... suasananya mengagumkan.
"Lojing itu pula merupakan tanah tinggi dan suhunya memang sejuk macam Cameron Highlands. Saya bawa isteri, anak dan menantu untuk sama-sama nikmati keindahan di situ.
"Kami berkhemah tiga hari iaitu Rabu sampai Jumaat, jadi orang semua bekerja dan hanya kami di situ, tapi Jumaat sampai Ahad memang sesak dan penuh dengan pengunjung.
"Sahur dan berbuka puasa kami sekeluarga masak sendiri di tapak perkhemahan, insya-Allah ada kesempatan akan datang lagi di lain masa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujar Penasihat Takaful (Takaful Advisor) ini lagi, sepanjang dia melakukan aktiviti itu di beberapa negeri, boleh dikatakan kawasan itu begitu melekat di sanubari.
"Difahamkan tapak khemah itu bukan milik masjid, namun sepanjang saya berkhemah di merata kawasan, itu yang paling dekat dengan masjid, di belakangnya sahaja.
"Sudah 16 tapak perkhemahan termasuk Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Cameron Highlands saya singgah. Di sini sejuk dan kabusnya sampai malam, itu pengalaman yang unik.
"Sewa tapak khemah di sini RM45 untuk satu hari, ada 15 tapak semuanya. Kemudahan asas di sini termasuk singki, tandas, bilik mandi serta ada aktiviti mendaki (hiking)," katanya lagi.
Menerusi perkongsian orang ramai yang pernah hadir ke sini di media sosial, suhu di sini boleh mencecah sehingga 16 darjah Celsius, selain itu liputan talian telekomunikasi mudah diakses.
Pengunjung juga dinasihatkan untuk membawa pakaian bersesuaian seperti jaket tebal dan 'sleeping bag'.
#jendela ramadan #tapak perkhemahan #Majid Lojing #tanah tinggi
;