Sahkah wuduk jika menantu lelaki bersentuhan dengan ibu mertuanya?

Shafizan Johari
Mei 15, 2020 17:30 MYT
Menerusi kelonggaran baharu yang dibuat kerajaan ketika ini, antara SOP yang harus dipatuhi jemaah ialah berwuduk di rumah dan bukannya di dalam kawasan masjid.
AKHIRNYA kerajaan membenarkan masjid-masjid dibuka semula bermula Jumaat, walaupun dengan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang tegas.
Antara SOP yang harus dipatuhi ialah semua jemaah diwajibkan untuk berwuduk (mengambil air sembahyang) di rumah dan bukannya di masjid seperti yang lazimnya dilakukan sebilangan besar jemaah.
Berikut adalah beberapa kekeliruan mengenai perkara yang membatalkan wuduk seperti yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat.
Hasil carian di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Astro AWANI senaraikan antara kemusykilan sebilangan umat Islam mengenai air wuduk:
1. Keluar angin tetapi tidak berbau, apa hukumnya?
Wuduk anda akan terbatal disebabkan oleh keluarnya sesuatu benda dari dua jalan sama ada depan dan belakang (kubul dan dubur).
2. Bagaimana hukum wuduk untuk orang pesakit kencing tidak lawas?
Jika ia memang penyakit (atau disebut kencing tidak lawas), maka dalam keadaan ini anda hendaklah mengambil wuduk sebaik sahaja masuk waktu dan memakai alas untuk menjaga air kencing agar tidak terkena pakaian dan tempat solat.
3. Sahkah wuduk jika terpijak najis kering?
Tidak sah wuduk tersebut dan wajib menyucikan kaki yang terkena najis tersebut.
4. Adakah batal wuduk jika makan atau minum?
Makan dan minum tidak sesekali membatalkan wuduk yang telah diambil.Sebaik-baiknya panel nasihatkan agar anda hendaklah berkumur bagi menghilangkan sisa makanan sebelum memulakan solat.
5. Adakah korek telinga, hidung batal wuduk?
Mengorek hidung atau telinga tidak membatalkan wuduk kerana ianya tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang membatalkan wuduk.
6. Apakah hukum jika menantu dalam keadaan berwuduk bersentuhan dengan ibu mertua? Batal atau tidak wuduknya?
Tidak batal wuduk jika menantu dalam keadaan berwuduk bersentuhan dengan ibu mertua
Ini adalah sebahagian soalan dan jawapan yang diperoleh di laman web JAKIM. Jika anda ada sebarang soalan lanjut mengenai hal ini boleh terus diajukan ke laman web http://kemusykilan.islam.gov.my/.
#air #COVID-19 #Islam #JAKIM #kerajaan #koronavirus #rumah #SOP #wudhu #wuduk
;