Sah! PKPP dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga 31 Mac

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2021 17:05 MYT
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri sekali lagi mengingatkan rakyat negara ini agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan.
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP), yang dijadual tamat pada 31 Disember, dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh lanjutan PKPP berkuat kuasa dari 1 Januari sehingga 31 Mac 2021 di seluruh negara kecuali di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti yang masih diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD).
Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mendapati peningkatan kes yang ketara dan kadar kebolehjangkitan yang masih tinggi.
"Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.
"Antara lain peningkatan kes ini disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang sedang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri tumpuan, serta akibat daripada berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.
"Sehubungan dengan itu, segala prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Bagi aktiviti pelancongan pula, Ismail Sabri berkata, ia kekal berdasarkan ketetapan yang diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebelum ini, dan perlu mematuhi SOP yang ketat.
Dalam masa yang sama, beliau sekali lagi mengingatkan rakyat negara ini agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beliau menyifatkan 2021 sebagai cabaran yang lebih besar buat rakyat di seluruh dunia.
"Marilah kita mulakan perjalanan 2021 ini dengan tekad dan azam untuk terus bersama-sama dalam mendepani apa jua cabaran khususnya dalam memerangi wabak COVID-19.
"Sentiasa patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat," katanya.
#SOP #kesihatan #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #Kementerian Kesihatan #ismail sabri yaakob #COVID-19 #PKPP
;