Sah! Dr S. Streram tidak masuk Islam
Syafik Shukri Jalil
April 30, 2018 20:11 MYT
April 30, 2018 20:11 MYT
Video yang kononnya memaparkan calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram, sebagai masuk Islam adalah tidak benar.
Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Kerja Keadilan Negeri Sembilan, Abdul Malek Adam.
Ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, Abdul Malek menegaskan lelaki India dalam video yang tular di media sosial itu, bukan Streram tetapi individu lain.
Pada Sabtu lalu, pencalonan Streram bagi DUN N.27 Rantau untuk Pilihan Raya Umum ke-14 ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila beliau tidak dibenarkan masuk ke Dewan Sri Rembau untuk menghantar borang pencalonannya.
Ini kerana beliau tidak memiliki pas khas yang dikeluarkan SPR.
Susulan itu, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding dan mempertahankan kerusi yang didudukinya untuk penggal keempat.