Saguhati RM2,000 untuk warga PNB
Rahimah Abdullah
Mac 15, 2018 18:12 MYT
Mac 15, 2018 18:12 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemberian saguhati istimewa sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan mula disalurkan Mei ini.
Najib yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) iaitu yayasan di mana PNB bernaung berkata, ia diberikan bagi meraikan ulang tahun ke-40 dan pencapaian cemerlang syarikat pengurusan dana terbesar negara itu sepanjang penubuhannya.
“Untuk sambut 40 tahun ini, bukan senang. Bukan selalu kita boleh sebut 40 tahun. Jadi, sempena menyambut ulang tahun ini, saya ingin umumkan sagu hati istimewa sebanyak RM2,000 kepada setiap warga PNB yang akan dilaksanakan pada Mei ini.
“Jadi, (Hari) Raya pun boleh disambut dengan meriah... Saya sekali lagi ucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-40 kepada semua warga PNB, dan saya yakin masa depan PNB akan terus cemerlang,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-40 PNB di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah atas kejayaan PNB mengekalkan pencapaian sepanjang penubuhannya dengan aset di bawah pengurusannya kini mencapai RM279 bilion.
“PNB pula tidak pernah gagal untuk membayar dividen pada kadar yang baik secara berterusan,” tambahnya.
Bagi tahun 2017 sahaja, kata Najib, sejumlah RM14.38 bilion dalam bentuk dividen dan bonus telah diagihkan, manakala sejak 1981, sebanyak RM171.85 bilion dividen dan bonus terkumpul telah dibayar kepada para pelabur dana unit amanah PNB.
Justeru, katanya, penubuhan YPB dan PNB telah berjaya merealisasikan dasar-dasar kerajaan dalam menyusun semula masyarakat dan meningkatkan tahap sosio-ekonomi terutamanya golongan Bumiputera.
“Dengan kredibiliti barisan kepimpinan yang diterajui Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Datuk Abdul Rahman Ahmad, saya percaya PNB akan berjaya merealisasi matlamat Pelan Strategik 6 Tahun ataupun STRIVE-15 untuk menjadi sebuah 'Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia' menjelang tahun 2022.
"Ia sekali gus melonjakkan aset di bawah pengurusan PNB kepada RM350 bilion,” ujar Najib lagi.