Sagol makanan istimewa kaum Bajau, Suluk

Zulhafiiz Brahim, Fadhil Selihin
April 19, 2022 08:50 MYT
Kebiasaan orang tempatan di Sabah akan menikmati sagol dengan cara tradisional, iaitu bersama putu dan sianglag. - Astro AWANI
SAGOL ikan pari merupakan hidangan yang cukup sinonim terutamanya dalam kalangan bangsa Bajau dan Suluk.
Menurut seorang peniaga sagol, Norhazlila Ahmad Khairi, lazimnya sagol dimasak menggunakan ikan pari, serai, kunyit, halia, bawang dan cili padi.
Akan tetapi ada juga yang mengantikan ikan pari dengan menggunakan ikan buntal atau ikan yu.
"Sagol ini makanan tradisional orang Sabah, biasanya yang masak ini orang Bajau dan Suluk.
"Biasanya sagol ini kebanyakan orang gunakan ikan pari, ikan buntal, ikan yu pun boleh. Antara tiga ikan ini yang biasa orang pakai," katanya.
Tambah Norhazlila lagi, kebiasaan orang tempatan di Sabah akan menikmati sagol dengan cara tradisional, iaitu bersama putu dan sianglag.
Menurutnya, pertama sekali ikan pari akan direbus sehingga empuk dan sementara itu dia akan menumis serai, bawang, halia, kunyit dan cili padi yang telah dikisar dan asam keping bagi menghilangkan bau hanyir ikan pari.
"Cara makan, boleh dimakan dengan nasi tapi kalau dengan orang-orang di sini, biasanya makan dengan putu atau sianglag.
"Kalau saya biasa gunakan ikan pari saya rebus dulu, selepas saya rebus sambil tunggu, saya akan tumis serai, bawang putih, bawang merah, halia dan lada. Kalau suka pedas, kena lebihkan lada, kalau tidak suka pedas, kurangkan. Jangan lupa asam keping untuk hilangkan bau hanyir ikan," katanya.
Kata Nohazliza lagi, dia telah berniaga sagol sejak 12 tahun yang lepas bermula dari tahun 2010 sehingga kini.
Tambahnya lagi, soal kenaikan harga barang turut memberi kesan tetapi dia memilih untuk kekalkan harga jualan agar orang ramai boleh makan dan merasa dengan harga yang berpatutan.
#sagol ikan pari #tradisional #bajau #Suluk
;