Safwan Anang dibebaskan dengan ikat jamin
Haider Yutim
Mei 31, 2013 14:23 MYT
Mei 31, 2013 14:23 MYT
Aktivis pelajar, Safwan Anang hari ini telah dibebaskan dari penjara setelah keluarga dan isterinya membayar wang ikat jamin sebanyak RM5,000.
Dia telah dibebaskan sekitar jam 10 pagi tadi selepas dibawa dari penjara Sungai Buloh ke Mahkamah Jalan Duta.
Pada 29 Mei lalu, Safwan telah dipenjarakan selepas dia menolak ikat jamin terhadap dirinya.
Safwan telah memilih untuk dimasukkan ke penjara sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan yang didakwanya bermotifkan politik.
Turut didakwa ialah naib presiden PKR Tian Chua, ahli Pas Tamrin Ghafar dan penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah.
Kesemua empat tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesalahan yang didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lepas.