Safron tinggi nilai perubatan, bukan hanya untuk gangguan makhluk halus
Muhafandi Muhamad
Mac 3, 2024 09:00 MYT
Mac 3, 2024 09:00 MYT
KOTA BHARU: Safron atau juga dikenali sebagai za' faran, digunakan sebagai salah satu bahan merawat oleh pengamal perubatan Islam suatu ketika dahulu.
Bahkan, ada yang menggunakannya untuk membuang anasir negatif atau menghalau gangguan makhluk halus yang dipercayai merasuk tubuh seseorang.
Perkara itu diakui pengasas Dakwah Bedaie, Mohd Amar Mirza Abdul Kadir yang berkata, pengamal perubatan Islam sering menggunakan safron sebagai elemen perubatan untuk menghasilkan 'dakwat'.
"Air rendaman safron boleh dijadikan dakwat emas atau tinta emas yang kemudiannya ditulis di atas pinggan sebelum dibilas dengan air sebagai air penawar atau air tulisan ayat-ayat al-Quran.
"Kaedah perubatan sebegini ada tercatit dalam beberapa lembaran kitab lama dan kitab perubatan," jelasnya kepada Astro AWANI dalam satu temu bual baru-baru ini.
Air berkenaan kemudiannya akan diberikan kepada individu yang mengalami gangguan atau pesakit.
"Suatu masa dahulu, herba za'faran dari tanah Arab itu digunakan sebagai salah satu bahan perubatan Islam, tetapi kini sukar untuk kita temui kaedah rawatan menggunakan za'faran atau safron ini," tambahnya.
Safron diperolehi dari stigma bunga dikenali sebagai Crocus Sativus Linneaus, yang banyak didapati di negara seperti Iran, India, Pakistan, Sepanyol, Turki, Maghribi dan Greek.
Turut berkongsi pandangan mengenai safron ialah seorang pakar kesihatan awam yang juga bekas pensyarah perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Tengku Ariff Tengku Raja Hussein
Tengku Ariff menyebut, za'faran telah banyak melalui kajian saintifik yang membawa kepada penemuan banyak khasiat kesihatan ke atas badan manusia.
Ia menunjukkan kesan baik dari segi peningkatan fungsi otak, seperti menguatkan daya pemikiran dan daya ingatan, termasuk menenangkan seseorang yang mengalami stres.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan safron dapat melancarkan peredaran darah dan menyihatkan jantung.
Malah, ada juga kajian dari Universiti Putra Malaysia pada 2017 yang mendapati safron dapat membantu fungsi hormon manusia serta berperanan mencegah obesiti sekiranya diamalkan secara berterusan.
Safron ada tercatat di dalam kitab "Kanun Perubatan Ibnu Sina" dan "Kitab Perubatan Nabawi".
Menurut jurnal perubatan, terdapat empat bahan aktif dalam safron iaitu crocin, crocetin, picocrocin dan safranal yang memberi manafaat kepada tubuh badan manusia.
Jelas Tengku Ariff, jurnal perubatan juga mencatatkan bahawa safron boleh membantu sebagai neuro booster untuk menguatkan daya ingatan dan neuroprotective untuk mencegah penyakit alzheimer.
Selain itu, ia juga boleh membantu mengatasi tekanan emosi dan anxiety, bertindak sebagai antioksidan yang menguatkan ketahanan imunisasi tubuh, sebagai antikeradangan yang boleh membantu mencegah penyakit kronik serta agen antikanser.
“Pelbagai khasiat safron ini yang kita tidak ketahui. Namun, selepas menjalani ujian klinikal dan penyelidikan, ditemui banyak khasiatnya, malah ia juga dipercayai mampu memulihkan tenaga batin,” katanya
“Sebenarnya, pengetahuan am mengenai za’ faran tidak diperincikan. Ramai yang tahu ia bagus, tetapi tak tahu kebaikannya secara terperinci.
“Safron adalah herba yang mahal dan sukar didapati di negara kita kerana ia hanya hidup di negara beriklim sejuk atau empat musim," tambahnya.
Tengku Arif berkata, khasiat safron diperolehi dengan cara merendamkan stigma bunga itu dalam air (tidak panas atau sejuk) dan ia kemudiannya akan mengeluarkan warna keemasan.
“Apabila direndam, safron akan berubah warna daripada merah kepada keemasan. Sebab itu ia juga dikenali sebagai emas merah di Timur Tengah.
"Sebagai rumusan, safron merupakan herba yang banyak memberikan kebaikan kepada manusia dan ia adalah sesuatu yang perlu diketengahkan.
"Ia juga boleh dijadikan sebagai suplemen untuk melawan kesan dari unsur-unsur yang merosakkan badan manusia, hasil dari perubatan kimia hari ini," katanya lagi.
Sementara itu, bagi Pengarah Kumpulan Klinik Primer Dr Noor Azukee Mohd Noor, kebaikan safron sekiranya diamalkan ialah dapat menghalang kerosakan jantung, hati dan buah pinggang.
Ini kerana, safron dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan menghalang kehadiran kolestrol jahat.
Dengan kandungan antioksidan yang tinggi, ia juga dapat melawan jangkitan kuman di dalam tubuh
Safron antara herba yang termahal di dunia dan digunakan secara meluas sebagai bahan masakan di Timur Tengah dan Eropah.
Selain itu, ia juga digunakan untuk perubatan ayurveda di India dan rawatan tradisional di Parsi sejak beribu tahun dahulu.
Sementara itu, bagi salah seorang pengimport safron di Malaysia, Helwina Hadiny Mustapa Apipi, bahan itu disifatkan sebagai herba 'kayangan' kerana harganya mencecah USD6,000 sekilogram.
Menurutnya, safron dari Iran merupakan yang terbaik kerana tanah dan cuaca yang bersesuaian sehingga menjadikan bunga yang berkualiti.
“Saya mengimport dan melarutkan safron dalam air melalui proses pengilangan dan mengikut nasihat perubatan kerana khasiatnya yang begitu banyak," katanya.
Jelas Helwina, harga safron yang mahal antara lain adalah kerana proses mengasingkan bunga dan stigma itu dilakukan secara manual dan memakan masa yang lama.
Tambahnya, safron juga semakin dikenali dan mendapat permintaan dari kalangan pengamal perubatan dan pengeluar produk kesihatan.