SAFF 2023: FAMA sasar nilai jualan RM500,000
Bernama
Februari 23, 2023 04:20 MYT
Februari 23, 2023 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk meraih nilai jualan sebanyak RM500,000 melalui penganjuran Program Sarawak FAMA Fest 2023 (SAFF 2023) yang bermula Khamis hingga 26 Feb depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata program itu bertujuan mengetengah serta mempromosi produk makanan keluaran usahawan tempatan kepada masyarakat tempatan khususnya di Miri, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Beliau berkata SAFF 2023, yang berlangsung di Bintang Mega Mall, Miri, Sarawak, juga merupakan medan pertemuan antara agensi kerajaan, petani dan usahawan dalam menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan pada harga munasabah dan mampu dibeli oleh pengguna.
"FAMA turut menyasarkan kunjungan seramai 20,000 orang dengan nilai jualan sebanyak RM500,000 menerusi penganjuran SAFF 2023 kali ini," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Program yang bermula seawal 10 pagi hingga 10 malam itu turut membabitkan pelbagai aktiviti menarik antaranya sesi padanan perniagaan, jualan terus dari ladang, demonstrasi masakan, bermukun (aktiviti hiburan masyarakat Melayu Sarawak) dan pertandingan memasak.
FAMA dalam kenyataan sama turut menyasarkan potensi nilai eksport sebanyak RM3 juta menerusi sesi padanan perniagaan.
Bagi tujuan itu, FAMA akan menemukan usahawan tempatan dengan ejen pemasar dari Brunei, Thailand, Hong Kong dan China untuk membantu memperluas pasaran produk agromakanan domestik ke pasaran global khususnya produk usahawan Sarawak.
"Ia bertujuan untuk menggalakkan usahawan meneroka pasaran global yang lebih luas dan menguntungkan menerusi ejen pemasaran yang memiliki outlet pasaran atau akaun utama di destinasi masing-masing," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA