Safety Car AMG GT S sudah bekerja keras

Astro Publication
April 9, 2015 23:56 MYT

Walaupun baru dua perlumbaan berlangsung, kereta keselamatan F1 (safety car) sudahpun muncul di kedua-dua litar, Albert Park dan Sepang. Kalau nak diceritakan sejarah mengenai penggunaan ‘safety car’ ini, berjela-jelalah artikel ini kerana ia satu topik yang pergi beberapa dekad yang sudah. Oleh itu, mungkin elok jika kita jelaskan mengenai kereta keselamatan terbaharu yang digunakan pihak FIA, selaku penganjur kejohanan tertinggi dunia perlumbaan bermotor.

Safety Car – Mercedes-Benz AMG GT S
Roadster terbaharu Mercedes ini membuat penampilan sulung sebagai kenderaan keselamatan rasmi F1, menggantikan SLS AMG yang digunakan sebelum ini sejak musim 2010 hingga 2014. Enjin V8 dengan bi-turbo yang terletak di depan/tengah jentera ini menghasilkan sehingga 510hp dan tork pula adalah 650Nm, kesemuanya menuju ke gandar belakang menerusi kotak gear klack berkembar AMG Speedshift 7-kelajuan. Lebih menarik, kedua-dua enjin dan transmisi ini tidak ada bezanya dengan model yang boleh dibeli orang awam.
AMG GT S ini mampu untuk mencapai 100km/j dari keadaan rehat dalam masa 3.8 saat.
Apabila ‘safety car’ ini diseru untuk keluar oleh pihak FIA – tidak kira kerana kemalangan, cuaca buruk ataupun kerana sebab-sebab keselamatan lain – ia akan dipandu sepantas yang boleh. Ini kerana kereta lumba F1 tidak direka untuk dipandu perlahan bagi masa yang lama. Namun, bagi pemandu kereta keselamatan, apa yang pantas dan sukar untuknya memang tiada masalah bagi pelumba-pelumba yang memandu kereta F1 yang bernilai jutaan ringgit itu.
Siapa pemandunya?
Pemandu rasmi kereta keselamatan F1 sejak tahun 2000 adalah warga Jerman, Bernd Maylander (43 tahun). Beliau dipilih atas pengalaman dan kebolehan sebagai pelumba kereta lumba kejohanan DTM di Jerman.
Tetapi beliau bukan keseorangan di dalam kereta tersebut; di tempat duduk penumpang adalah Peter Tibbets (umur: 59 tahun) yang bertindak sebagai penganalisa bahan api. Tibbets juga bertugas untuk berkomunikasi dengan pihak kawalan perlumbaan menerusi radio.
Setiap kali kereta F1 keluar ke litar, khususnya ketika fasa kelayakan (Sabtu) dan perlumbaan (Ahad) berlangsung, termasuk perlumbaan sokongan dianjurkan FIA (jika ada), ia adalah dengan perintah daripada pengarah perlumbaan FIA, Charlie Whiting. Ketika keadaan cuaca hujan, Maylander turut memberi maklumat kepada Whiting tentang keadaan di litar; dan sama ada litar masih terlalu basah dan bahaya untuk berlumba.
Apa di atasnya?
Jelas sekali perbezaan paling ketara antara AMG GT S model pengeluaran dengan kereta keselamatan ini adalah barisan lampu di atas bumbungnya. Lampu itu sendiri tidaklah begitu canggih, tetapi pemegangnya agak menarik.
Diperbuat daripada gentian karbon, ia bukan sahaja bertindak sebagai asas kepada lampu LED di atas bumbung itu, tetapi direka khas melalui hasil ujian di dalam terowong angin. Ini untuk memastikan rintangan udara yang dihasilkan dapat dikawal, dan memastikan aliran udara seterusnya menuju ke spoiler belakang.
Memandangkan tiada komunikasi suara antara Bernd Maylander dan pemandu-pemandu F1 yang mengikut AMG GT S dipandunya, lampu ini juga ada mesej yang tersendiri, seperti berikut:
Lampu oren: Lampu oren digunakan setiap kali apabila kereta keselamatan baru keluar daripada pit lane. Lampu oren di bahagian tengah juga berkelip untuk memberi amaran kepada pelumba bahawa memintas kereta lain tidak dibenarkan sama sekali.
Lampu hijau: Apabila fasa kereta keselamatan sudah benar-benar dipastikan, lampu oren di bahagian tengah bertukar ke warna hijau, menandakan yang ada pelumba boleh mula memintas ‘Safety Car’ untuk menyusun kembali kedudukan pelumba. Sebuah kamera video turut dipasang pada pemegang lampu ini.
Tambahan
FIA bukan sahaja membawa sebuah AMG GT S, tetapi juga sebuah AMG C 63 S ke setiap litar perlumbaan. Kereta ini berfungsi sebagai kenderaan perubatan rasmi F1 dan mengikuti acara mula dari belakang. Di waktu inilah bahaya kemalangan adalah tinggi, oleh itu dengan mengikut di belakang pihak medik dapat sampai kepada mangsa secepat mungkin.
Di tempat duduk pemandu adalah pelumba dari Afrika Selatan, Alan van der Merwe manakala penumpang setianya adalah Dr. Ian Roberts selaku ketua perubatan FIA. Di kerusi belakang pula adalah dua lagi ahli perubatan daripada hospital pakar berdekatan terpilih.
Sebagai kenderaan kecemasan, ruang kargo bersaiz 490-liter di belakang dilengkapi dengan pelbagai peralatan, termasuk bantuan pernafasan dan defibrillator.
Untuk memastikan kepakaran perubatan dan peralatan ini dapat sampai ke destinasinya dengan pantas, enjin 4.0-liter V8 (menghasilkan 510hp, 700Nm) padanya dapat membawa wagon ini ke kelajuan 100km/j dalam masa hanya 4.1 saat.

#Mercedes #MBM #AMG #GT S
;