Safee Sali beri keterangan berhubung pistol, peluru hidup dalam kenderaannya
Bernama
Mei 16, 2016 21:00 MYT
Mei 16, 2016 21:00 MYT
Safee Sali, penyerang pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Baharu Utara (JBU) hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol di dalam kenderaan miliknya semalam.
Safee, 32, tiba di IPD JBU kira-kira 2.30 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.
Semasa ditemui pemberita di perkarangan IPD JBU, pemain bola sepak itu mengesahkan kenderaan Ford Ranger itu miliknya tetapi terkejut dengan penemuan senjata api terbabit di dalamnya.
"Perkara ini (penemuan pistol) masih dalam siasatan tetapi barang kes (pistol) itu bukan milik saya. Kenderaan itu milik saya.
"Saya dapat tahu mengenai kes ini petang semalam dan memang terkejut dengan maklumat yang diterima. Lepas itu, polis panggil saya untuk hadir di IPD bagi memberi keterangan," katanya.
Safee berkata beliau menghantar kenderaannya ke sebuah kedai aksesori kenderaan di bandar raya ini sebelum ke bergerak ke perlawanan akhir Piala FA beberapa hari lepas, dan sepatutnya mengambil kenderaan itu hari ini.
Menurutnya beliau tidak mengenali suspek dan menghantar kenderaannya ke kedai itu buat kali pertama.
Kenderaan itu yang digunakannya sejak beberapa tahun lepas, masih ditahan polis bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan selanjutnya, katanya.
Semalam, polis menemukan sepucuk pistol bersama 30 peluru hidup dalam kereta Safee, yang dipandu seorang lelaki yang juga pemilik kedai aksesori kenderaan pacuan empat roda (4WD), dalam sekatan jalan raya di susur keluar Kempas, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini kira-kira 12 tengah hari.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata Safee menghantar kenderaannya ke kedai suspek minggu lepas untuk diubah suai dan akan mengambilnya semula selepas selesai perlawanan akhir Piala FA.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamarul Zaman Mamat berkata polis menahan reman suspek selama lima hari mulai hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.