'Safe Home' diwujudkan di Mesir permudah pelajar Malaysia dibawa pulang
Bernama
Ogos 18, 2013 20:26 MYT
Ogos 18, 2013 20:26 MYT
'Safe home' telah diwujudkan di Mesir bagi memudahkan pelajar Malaysia dibawa keluar sekiranya keadaan memerlukan, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan dan pihak Wisma Putra di negara berkenaan telah mengenal pasti beberapa kawasan selamat yang tidak terlibat dengan konflik keganasan di mana 'safe home' diwujudkan.
"Safe home ini diwujudkan sekiranya perlu kita mengeluarkan mereka (rakyat Malaysia) dengan serta merta. Perancangan dan persiapan telah ada," katanya ketika ditemui Bernama pada satu majlis di Batu Caves, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Kamalanathan berkata pelajar dan rakyat Malaysia di sana hendaklah sentiasa menghubungi wakil Wisma Putra di Mesir bagi mengetahui lokasi 'safe home' tersebut.
"Kita sudah ada pengalaman sekali (membawa pulang pelajar Malaysia) dan kita akan menggunakan pengalaman itu," katanya.
Kerajaan melancarkan Ops Piramid pada 2011 bagi memindahkan rakyat Malaysia ketika Mesir dilanda demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan bekas presiden Hosni Mubarak.
Kamalanathan berkata Kementerian Pendidikan kini menunggu maklum balas dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar bagi melaksanakan operasi membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir.
"Paling penting pelajar kita di Mesir hendaklah menghubungi dengan wakil Wisma Putra di sana dan saya menasihatkan supaya jangan masuk campur dalam hal ehwal politik negara lain," katanya.
Krisis di Mesir semakin memuncak apabila tercetus pentempuran antara pihak berkuasa keselamatan dengan ribuan penyokong presiden Mesir Mohamed Morsi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera.