Saderi beracun dari China dilupus
Dewi Nur Harasha Alias
November 10, 2021 23:01 MYT
November 10, 2021 23:01 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melupuskan sebanyak 1,62 tan saderi yang dimport dari China kerana mengandungi racun perosak Orgnanonitrogen melebihi had dibenarkan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin, berkata sayuran bernilai RM12,960 itu dirampas dalam pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang sebelum ini.
Katanya, pemantauan dibuat secara berkala oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak tahun lepas selepas mengesan pelanggaran residu racun perosak.
"Hasil daripada pemantauan yang dijalankan pada 2020, pihak kita mendapati secara puratanya 12.2 peratus produk terbabit dalam pelanggaran residu racun perosak.
"Kebolehkesanan telah dilaksanakan dan diuar-uarkan kepada pengeluar serta pengimport produk hasil pertanian berkaitan perkara ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Maarof berkata JKNPP akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan semua pengeluar, penjual, ejen dan pengimport produk hasil pertanian mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan- Peraturan Makanan 1985 demi melindungi pengguna.