SADC peruntuk RM4 juta bantu usahawan agro

Bernama
Februari 16, 2023 08:50 MYT
Salbiah berkata menerusi pinjaman itu mereka bakal menerima pelbagai manfaat terutama mengembangkan perusahaan masing-masing. -Gambar fail/Bernama
IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) memperuntukkan RM4 juta bagi memberi pinjaman kepada usahawan agro khususnya asnaf dan golongan B40 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Salbiah Mohamed berkata menerusi pinjaman itu mereka bakal menerima pelbagai manfaat terutama mengembangkan perusahaan masing-masing.
"Kita (Kerajaan Perak) mengadakan bantuan penyerahan pinjaman daripada SADC kepada usahawan agro yang terlibat sama ada dalam produk pertanian, perikanan, penternakan mahupun produk hiliran yang berkaitan dengan perusahaan agro.
"Beberapa usahawan telah kita usahakan melalui pinjaman tanpa faedah dalam membantu mereka. Banyak lagi bentuk bantuan yang diberikan oleh SADC termasuk daripada agensi lain yang turut terlibat memberi peluang kepada usahawan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan tawaran pinjaman SADC Perak kepada lima usahawan di sini pada Rabu.
Salbiah berkata pinjaman yang diperuntukkan pada tahun ini dibuka kepada warga Perak yang menjalankan perusahaan di bawah aktiviti agro.
"Kita buka tawaran ini tetapi kita lihat kepada aspek berkenaan perniagaan yang mana mempunyai keperluan terdesak dan perlu dibantu. Antara kelayakannya adalah usahawan yang sudah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya tiga bulan," katanya.
-- BERNAMA
#Salbiah Mohamed #Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak #SADC #RM4 juta
;