SADA yakin masalah bekalan air selesai tahun 2020

Bernama
Januari 5, 2018 10:59 MYT
SADA berharap kerja menaik taraf di lima loji rawatan dapat menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah. - Gambar hiasan
Syarikat Air Darul Aman (SADA) yakin dapat menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah menjelang tahun 2020 apabila projek menaik taraf lima loji rawatan di negeri ini siap sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata projek menaik taraf itu membabitkan Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Jenun Baru, Loji Rawatan Air Bukit Selambau, Loji Rawatan Air Sungai Limau dan Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama.
"Pelaksanaan projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk negeri ini dan kita jangkakan bekalan air terawat ini cukup sehingga tahun 2040.
"SADA juga berharap dengan kerja menaik taraf lima loji rawatan ini, ia dapat menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun supaya menjelang tahun 2020 tiada lagi isu bekalan air," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Media-SADA di sini, malam tadi.
Katanya, untuk menjalankan kerja menaik taraf lima loji rawatan ini, ia melibatkan kos sebanyak RM928 juta.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata bermula Januari ini, pengguna domestik akan mendapat manfaat apabila penggunaan air 20 meter padu ke bawah yang melibatkan jumlah pembayaran di bawah RM10 tidak perlu membayar bil air seperti yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika membentangkan Bajet 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri pada 12 Nov lalu.
"Namun, sekiranya pengguna mempunyai tunggakan bil sebelum ini, mereka perlu menyelesaikan pembayaran tersebut terlebih dahulu," katanya.
-- BERNAMA
#Abd Ghani Zainuddin #air #Kedah #loji rawatan air #naik taraf #SADA #Syarikat Air Darul Aman #tunggakan bil
;