"Sabar dan reda" hanya mampu diungkap pesakit COVID-19 pada Hari Raya Aidiladha

Bernama
Julai 20, 2021 19:34 MYT
Pesakit COVID-19 menadah tangan berdoa kepada Allah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Selasa. - Gambar BERNAMA
SERDANG: "Sabar dan reda"... itulah luahan pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di pagi Hari Raya Aidiladha.
Samsiah Safar, 61, berkata, perasaan sayu kerana berjauhan daripada keluarga ketika sambutan hari raya yang lazimnya disambut bersama sebelum ini.
"Memang rasa sedih kerana tidak pernah berpisah dengan anak dan cucu. Yang paling membuatkan hati ini sedih adalah suami dan anak-anak kata tahun ini tidak dapat makan rendang 'mak'," katanya sambil menyapu air mata yang mengalir.
Samsiah yang dimasukkan ke pusat kuarantin sejak lima lepas kini berada di kategori ketiga iaitu radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen kini semakin sembuh.
"Makcik reda dan berserah dengan ujian ini. Saya harap semua rakyat Malaysia supaya patuh segala SOP (prosedur operasi standard) dan bertanggungjawab dengan mengambil vaksin demi melindungi diri, keluarga dan masyarakat," katanya.
Bagi Adif Nazman, 13, pula, satu-satunya doa pada Hari Raya Aidiladha tahun ini adalah kesembuhan ayahnya yang kini kritikal di Hospital Banting sejak dimasukkan empat hari lepas.
Beliau yang mendapat jangkitan daripada ayahnya, kini dikuarantin seorang diri tanpa ahli keluarga di sisi.
"Ayah kini memerlukan oksigen dan saya berdoa agar ayah kuat dan cepat sembuh. Doa juga untuk ibu yang dirawat di Hospital Sungai Buloh. Itulah doa saya setiap hari buat ayah dan ibu," katanya yang sudah dikuarantin selama empat hari.
Bagi Noor Azilah Sahlan, 47, hari raya tahun ini amat memilukan setelah pemergian suami tercinta pada Jumaat lepas.
"Saya reda dengan pemergian suami, di hari yang mulia ini orang lain yang hanya berjauhan dengan keluarga untuk sementara waktu, berbeza dengan saya," kata ibu kepada enam cahaya mata.
Suami beliau dimasukkan ke Hospital Klang pada 5 Julai namun meninggal dunia Jumaat lepas dan selamat dikebumikan semalam.
"Saya terkilan tidak dapat tengok wajah suami buat kali terakhir. Proses pengebumian arwah suami yang dirakam anak saya kini akan menjadi peneman saya," katanya sambil menahan sebak.
Siti Zaleha Uda, 69, pula berdoa agar suami yang kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) cepat sembuh kerana sudah 10 hari masih tidak sedarkan diri.
"Sebak kerana suami masih di hospital bertarung nyawa. Doa saya setiap hari untuk suami supaya dia cepat sembuh dan dapat berjumpa lagi.
:Alhamdulillah anak-anak yang akan habis kuarantin 24 Julai ini dan mak doakan semua sihat dan dilindungi. Jangan risaukan keadaan mak di sini kerana ada kawan-kawan dan petugas kesihatan yang bersama menjaga mak," katanya. - BERNAMA
#COVID-19 #pesakit COVID-19 #sabar dan reda #Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 #Taman Ekspo Pertanian Malaysia #Maeps #hari raya aidiladha #meninggal dunia
;