Sabah wujudkan pusat panggilan untuk pantau pesakit COVID-19 kuarantin di rumah

Eleanor Michelle Patrick
September 2, 2021 04:26 MYT
Shahelmey berkata pusat panggilan tersebut akan membantu serta memantau pesakit-pesakit COVID-19 dari masa ke semasa. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Sabah mewujudkan pusat panggilan, 'Home Monitoring Call Centre' (HMCC) bertujuan memantau pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata ia merupakan inisiatif bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Jelasnya, pusat panggilan tersebut akan membantu serta memantau pesakit-pesakit COVID-19 dari semasa ke semasa.
"Ia bertujuan untuk membantu dan juga memantau pesakit-pesakit COVID-19 tahap 1 dan 2 yang tidak perlu ke hospital agar keadaan kesihatan mereka dapat dipantau dari semasa ke semasa.
"Petugas-petugas yang membuat panggilan juga akan memberikan sokongan nasihat dan psikososial kepada pesakit yang sedang menjalankan kuarantin di rumah," katanya di sini, malam tadi.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata kerajaan negeri terus komited dalam mempercepatkan proses imunisasi di negeri ini bagi mencapai imuniti kelompok.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum tentang situasi di hospital-hospital yang terlibat dengan pengurusan COVID-19 di Sabah.
"Kerajaan negeri mengambil maklum tentang keadaan penggunaan katil di hospital-hospital yang terlibat dalam keadaan maksimum dan telahpun mendengar langkah-langkah perancangan dan persediaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghadapi situasi kritikal ini.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kita bantu dan berusaha mempercepatkan proses imunisasi vaksin COVID-19 agar keadaan boleh cepat diredahkan," katanya lagi.
#Pusat Panggilan #kuarantin kendiri #Home Monitoring Call Centre #pesakit COVID-19 jalani kuarantin kendiri di rumah
;