Sabah umum pakej bantuan COVID-19 fasa kedua RM240 juta

Bernama
Jun 18, 2020 16:12 MYT
Sabah umum pakej bantuan COVID-19 fasa kedua RM240 juta bertemakan 'Sabah New Deal'.
Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan peruntukan Pakej Bantuan COVID-19 fasa kedua bertemakan 'Sabah New Deal' bernilai RM240 juta bagi membantu mengaktifkan, memulih dan menyuburkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas berikutan pandemik virus itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan itu, yang merupakan kesinambungan kepada Pakej Bantuan COVID-19 Sabah fasa pertama berjumlah RM670 juta diumumkan pada 25 Mac lepas, juga bertujuan memperkasakan lagi ekonomi digital di negeri ini.
Menurutnya, keseluruhan jumlah peruntukan yang disediakan bagi bantuan COVID-19 di bawah fasa satu dan 'Sabah New Deal' berjumlah RM910 juta.
Beliau berkata pakej bantuan itu dirangka dengan tiga objektif utama bagi mendepani cabaran suasana ekonomi merudum dan tidak menentu sekali gus memastikan ia seiring dengan langkah ke hadapan untuk beralih kepada amalan kebiasaan baharu.
"Tiga objektif itu ialah mempercepat transformasi kepada ekonomi digital, memanfaat dan memperluaskan peluang ekonomi dalam bidang agromakanan dan memperkasakan sumber manusia serta menjana peluang pekerjaan baharu," katanya ketika mengumumkan pakej berkenaan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini.
Mohd Shafie berkata kerajaan negeri serius dalam mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah dan usaha itu akan dimulakan dengan melaksanakan Program Digitalisasi Kerajaan Negeri bagi meningkatkan lagi kualiti, kapasiti dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini.
Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk menaik taraf kesemua pelayan komputer kerajaan dengan menyediakan kelengkapan, peralatan serta aplikasi digital terkini termasuk penyediaan internet jalur lebar berkelajuan tinggi di bangunan pejabat kerajaan negeri, katanya.
Beliau berkata sejumlah RM60 juta diperuntukkan bagi menggalakkan sektor swasta termasuk pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah beralih kepada urus niaga ekonomi digital.
Daripada jumlah itu, RM50 juta adalah bagi membantu mengukuhkan rantaian nilai serta logistik berkaitan, manakala selebihnya untuk membangunkan platform e-Dagang Berpusat Sabah.
Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan untuk sektor pertanian ke arah memperluaskan lagi peluang ekonomi dalam bidang agromakanan termasuk memberi peruntukan RM25 juta bagi pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha bidang tersebut, dengan pembayaran pertama hanya perlu dibuat pada Januari 2021 dan berakhir pada Disember tahun sama.
"Selain itu, sejumlah RM13.21 juta diperuntukkan bagi mewujudkan enam Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Hasil Tani iaitu di Sipitang, Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu, Kundasang, Ranau dan Telupid.
"RM21.15 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti sekali gus menaik taraf kemudahan pemasaran dan logistik Sabah Fish Marketing Sdn Bhd,"katanya.
Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah untuk memperkasa dan melatih semula para pekerja yang telah kehilangan pekerjaan termasuk mereka yang menganggur dan sedang mencari kerja.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merangsang pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak penularan COVID-19, dengan memperuntukan RM5 juta bagi insentif perjalanan dan geran dipadankan bagi program Perjumpaan, Insentif, Persidangan dan Acara, selain menyediakan geran khas RM10 juta bagi menaik taraf kemudahan destinasi pelancongan.
Bagi menggalakkan pelancongan domestik, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas bayaran masuk di semua destinasi pelancongan diuruskan kerajaan negeri seperti Taman-Taman Sabah; Galeri Seni Sabah; dan Lembaga Kebudayaan Sabah untuk tempoh 6 bulan selepas dibenarkan beroperasi semula, katanya.
Selain itu, kesulitan dihadapi para pengusaha PKS turut diberi perhatian menerusi bantuan tambahan kerajaan negeri merangkumi pengurangan sewa bangunan perindustrian dan premis perniagaan milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Industri Kluster Kelapa Sawit, Lahad Datu sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan.
Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut bersetuju dengan keputusan SEDCO untuk menangguhkan pembayaran pinjaman pengusaha PKS selama enam bulan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Kerajaan negeri turut menyediakan geran RM20 juta untuk menaik taraf perusahaan mikro dan industri kotej di luar bandar.
Beliau berkata menerusi pakej itu, usaha merangsang sektor hartanah turut diberi perhatian dengan menggalakkan pembelian hartanah kediaman melalui Program Sabah Rumah Keduaku dan penangguhan pembayaran 50 peratus bagi premium tukar syarat guna tanah.
Penangguhan bayaran balik pinjaman skim pinjaman perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan skim pinjaman rumah panjang selama enam bulan turut diberi yang memanfaatkan seramai 584 orang peminjam melibatkan bayaran balik bulanan RM600,000, katanya.
Kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi tujuan menyokong usaha berterusan membendung dan menangani penularan COVID-19 di Sabah, katanya.
-- BERNAMA
#bantuan ekonomi #COVID-19 #ekonomi #Ketua Menteri #pakej bantuan COVID-19 #Pandemik COVID-19 #pelancongan #pengangguran #Shafie Apdal
;