Sabah tumpu aspek keselamatan tingkat industri pelancongan
Eleanor Michelle Patrick
Mac 6, 2021 17:43 MYT
Mac 6, 2021 17:43 MYT
KOTA KINABALU: Elemen keselamatan perlu dititikberatkan dalam usaha menarik pelancong melawat ke kawasan pelancongan yang terdapat di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arrifin, berkata perkara tersebut penting bagi memberi keyakinan kepada para pelancong.
"Kalau mereka tidak yakin tentang keselamatan mereka, susah mereka mahu datang.
"Kalau perlu ada inisiatif-inisiatif selain daripada anggota tentera dan sebagainya, mungkin pihak kementerian kena lihat," katanya.
Tambah Jafry juga, kerjasama membangunkan industri pelancongan oleh sektor swasta juga merupakan antara perkara yang ditekankan.
"Saya selaku menteri yang bertanggungjawab kalau boleh ingin menggesa atau memberi jaminan, kita akan kurangkan segala halangan, macam birokrasi, untuk memastikan pelabur datang dan dapat kita berikan keutamaan atau sedikit keringanan untuk memastikan industri pelancongan dapat kita percepatkan.
"Saya mengharapkan agar semua agensi terlibat dapat memberikan kelonggaran ataupun memberikan kerjasama secara tidak menitikberatkan soal birokrasi, yang akan menghalang kepada pembangunan industri pelancongan itu sendiri," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan gelembung perjalanan atau 'travel bubble', beliau berkata ia merupakan suatu inisiatif baik, bersesuaian dengan norma-norma baharu.
"Jadi rasanya tidak mencampuri masyarakat awam, dan tinggal pun di tempat yang terkawal. Memberikan ruang untuk mereka menikmati keindahan tempat pelancongan.
"Setakat ini, kita hanya menerima permohonan daripada Sutera Harbour.
"Kalau mereka yang lain berminat, ia akan diteliti oleh pihak kementerian, bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikehendaki, saya akan pasti menyokong untuk memastikan industri ini dapat bangkit kembali," katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Pulau Manukan, pada Sabtu.
Jafry yang turut ditemani Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China Bertaraf Menteri merangkap Pengerusi Malaysia-China Business Council (MCBC), Datuk Seri Tiong King Sing, sempat menyatakan hasrat untuk berkerjasama dengan MCMB dalam membangkitkan sektor pelancongan negeri ini.
"Kita telah diberikan taklimat oleh Taman-Taman Sabah dan juga Sabah Tourism Board tentang panorama ataupun keindahan yang ditawarkan oleh kita punya khazanah di negeri Sabah, di bawah Taman-Taman Sabah dan juga pusat-pusat pelancongan di negeri Sabah.
"Saya selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan, amat mengalu-alukan bantuan dan juga kerjasama daripada Duta Khas Perdana Menteri ini, untuk membantu industri pelancongan di negeri Sabah," katanya lagi.
Jelasnya lagi, walaupun sempadan negara masih ditutup, usaha-usaha untuk menarik pelancong luar sudah dimulakan.
#Sabah
#pelancongan
#elemen keselamatan
#tingkat industri pelancongan
#pelancong
#rasa selamat
#Jafry Arrifin